Zakat Wanita Yang Belum Berkahwin Tanggungjawab Siapa? Ini Penjelasannya
Jelas laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya anak-anak berkenaan sudah menginjak dewasa, berkemampuan serta ada pendapatan sendiri maka tak diwajibkan bapa tersebut untuk menafkahinya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui setiap kali tibanya bulan Ramadan, selain berpuasa kita juga perlu membayar zakat fitrah.
Hukum membayar zakat fitrah adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan.
Memetik laman sesawang Zakat Selangor, maksud zakat fitrah ialah zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syat yang ditetapkan.
Siapa yang bertangggungjawab bayar zakat fitrah untuk wanita yang sudah bekerja namun belum berkahwin?
Namun mungkin ada yang terfikir, bagi wanita yang sudah bekerja tetapi belum berkahwin, siapakah yang bertanggungjawab untuk membayar zakat buat mereka? Ini kerana, kebiasaannya dari kecil ayahlah yang membayarkan zakat.
Soalan sama turut ada diajukan kepada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai siapakah yang bertanggungjawab untuk membayar zakat bagi wanita yang sudah bekerja.
Syarat wajib bayar zakat fitrah
Menurut Pejabat Mufti WP, zakat fitrah adalah wajib kepada mereka yang:
- Beragama Islam
- Merdeka
- Memiliki lebihan makanan untuk dirinya dan keluarga pada waktu malam hari raya dan keesokannya
Menurut ulama mazhab Syafi’i, sesiapa yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah adalah orang yang bertanggungjawab untuk membayar zakat bagi individu yang berada di bawah tanggungan nafkahnya.
Maka seorang bapa wajib menanggung keluarga mengikut tiga syarat yang utama:
- Faqir dan kanak-kanak
- Kanak-kanak dan tidak berkemampuan
- Faqir dan gila
Tidak wajib bapa menafkahi anak yang dah bekerja atau ada pendapatan sendiri
Namun sekiranya anak-anak sudah menginjak dewasa, berkemampuan serta mempunyai pendapatan sendiri maka tidak diwajibkan bapa berkenaan menafkahinya.
Ayah wajib bayar zakat jika anak masih belajar dan tiada pendapatan untuk sara diri sendiri
Kecuali jika anak-anak itu masih lagi belajar atau menuntut ilmu serta tidak ada masa untuk bekerja untuk menyara dirinya sendiri.
Maka dalam situasi tersebut, si ayah wajib menanggung keperluan anak berkenaan.
“Berdasarkan penjelasan di atas seorang wanita yang mempunyai kemampuan dan memiliki pendapatan sendiri, bapanya tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya,” katanya.
Imam Ibn Qasim al-Abbadi berkata:
لَا تَجِبُ عَلَى الْأَبِ فِطْرَةُ وَلَدٍ لَهُ مَلَكَ قُوتَ يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ فَقَطْ أَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبِهِ وَلَوْ صَغِيرًا لِسُقُوطِ نَفَقَتِهِ عَنْهُ
Maksudnya: “Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaj atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu.”
Wanita dah kerja, berkemampuan dan baligh wajib bayar zakat fitrah sendiri
Oleh itu, kesimpulannya seorang ayah bertanggungjawab membayar zakat anak perempuannya yang masih belajar atau tiada punca pendapatan.
Bagi wanita yang telah bekerja dan berkemampuan serta telah baligh namun belum berkahwin mereka wajib membayar zakat fitrah untuk diri sendiri.
Jika zakat fitrah itu dibayar oleh bapanya, maka si bapa perlu mendapat izin atau persetujuan anaknya terlebih dahulu.



