“Pahala Besar”- Rugi Tinggalkan Solat Ba’diyah Isyak Kerana Ia Sunat Muakad [Video]
Jelas Imam, Zaid Amran solat Ba’diyah Isyak lebih afdal daripada solat tarawih dan rugi besar jika ia tidak dilakukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Solat sunat tarawih merupakan salah satu ibadah yang hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadan sahaja dan ia adalah antara keistimewaan bulan mulia ini.
Sewaktu menjalani ibadah berpuasa tak dinafikan ramai yang mahu merebut peluang untuk beramal dan mendapatkan ganjaran pahala yang banyak.
Namun dalam kita beramal dan melakukan ibadah sunat, kita juga turut digalakkan untuk tidak meninggalkan ibadah sunat lain seperti solat Ba’diyah.
Solat Ba’diyah lebih afdal daripada solat tarawih
Baru-baru ini, Geng Masjid Kampung Nakhoda di Batu Caves, Selangor turut menekankan betapa pentingnya untuk tidak meninggalkan solat Ba’diyah sebelum melakukan tarawih menerusi satu sketsa pendek.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, awalnya kelihatan Zaid Amran serta beberapa jemaah yang berada di sekelilingnya telah bangun untuk mendirikan solat Ba’diyah sebelum memulakan solat tarawih.
Namun Zaid menyedari Ahmad Syaqiq Shuhari yang berada di sebelahnya tidak bangun untuk melakukan solat Ba’diyah berkenaan.
Datang nak solat tarawih je, sebab nak simpan tenaga
Zaid lalu menegur Syaqiq yang juga bilal di masjid berkenaan untuk bersama-sama melakukan solat sunat berkenaan.
Namun bilal mengatakan dia berkunjung ke masjid itu untuk mendirikan solat tarawih.
“Saya datang sini nak solat tarawih bukan nak solat Ba’diyah Isyak, saya nak simpan tenaga saya. Saya nak solat kejap lagi, kau bukan tahu apa pun,” kata Bilal kepada Zaid dalam lakonannya itu.
Mendengar jawapan itu, Zaid menerangkan kepada bilal adalah satu perkara yang rugi jika meninggalkan solat Ba’diyah.
“Solat Ba’diyah Isyak ni lebih afdal daripada solat tarawih itu sendiri. Sebab solat Ba’diyah Isyak hukum dia sunat muakad, solat tarawih hukum dia sunat.
“Jadi kalau kita datang sini (masjid) tanpa buat solat Ba’diyah Isyak, rugi lah. Rugi besar, pahala besar tu solat Ba’diyah Isyak.”
@tijari.jais Nak Tarawih sampai 20 rakaat, tapi Ba’diyah Isya 2 rakaat pun tinggal. Korang Jangan jadi macam bilal ni, terlepas pahala mudah macam tu je #ramadan2026 #ilmuislam #tiktokmalaysia #tarawih #foryoupage
♬ New Sun – Chihei Hatakeyama
Solat sunat rawatib terbahagi kepada dua
Memetik laman sesawang pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat sunat rawatib terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu muakad (tidak ditekankan).
Antara solat-solat sunat rawatib mu’akkad (Ba’diyah) adalah:
- Dua rakaat sebelum Subuh
- Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
- Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
- Dua rakaat selepas Maghrib
- Dua rakaat selepas Isyak (Al-Taqrirat al- Sadidah, halaman 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132).
Solat rawatib ghairu mu’akkad (Qabliyah):
- Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
- Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
- Empat rakaat sebelum Asar
- Dua rakaat sebelum Maghrib
- Dua rakaat sebelum Isyak (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah, halaman 285 dan Matla al-Badrain, 1/132-133)
Perlu utamakan solat sunat Ba’diyah sebelum tunai tarawih
Dalam satu lagi artikel, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan adalah lebih baik untuk mendahulukan solat sunat selepas isyak sebelum menunaikan solat sunat tarawih.
Ini kerana solat sunat selepas solat fardu adalah solat sunat yang sentiasa dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa sepakat para ashab menyatakan bahawa solat sunat rawatib lebih afdal. Ini kerana solat sunat rawatib sentiasa dilakukan tidak seperti solat tarawih. Ini pandangan yang sahih. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (4/5),” jelasnya.
Bahkan para fuqaha dari mazhab lain seperti mazhab Hanbali menyebut bahawa solat sunat tarawih itu waktunya adalah usai menunaikan solat sunat selapas Isyak. Al-Buhuti menyebut:
“Waktu solat tarawih itu adalah selepas solat fardu isyak dan juga selepas menunaikan solat sunat ba’diyah selepas isyak.” (Rujuk Kassyaf Al-Qina’ ‘an Al-Iqna’, 3/269)
Masih boleh buat solat Ba’diyah walau selepas solat tarawih jika tak sempat
Oleh itu, adalah sebaiknya menunaikan solat sunat Isyak terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat tarawih.
Namun sekiranya ada yang tidak sempat melakukan solat sunat Ba’diyah sebaik selesai solat fardu Isyak, maka tidak perlu khuatir. Ini kerana solat Ba’diyah tamat dengan tamatnya solat fardu.
Bermaksud ia masih boleh dilakukan selepas daripada solat sunat tarawih, kata laman Pejabat Mufti itu lagi.
Writing about lifestyle is a passion that I can't deny. However, trending, current issues, and political views help me to dive into people's mind and behavior. Meanwhile, traveling is a way I enjoy and feed my inner soul to come out with fresh idea and creative writing.







