fbpx
Now Reading
Kawalan Kesihatan Di Pintu Masuk Negara Dipertingkat, Ini Apa Anda Perlu Tahu Tentang Virus Nipah

Kawalan Kesihatan Di Pintu Masuk Negara Dipertingkat, Ini Apa Anda Perlu Tahu Tentang Virus Nipah

Kawalan kesihatan di semua pintu masuk negara akan dipertingkatkan susulan penularan wabak virus Nipah di negeri Bengal Barat, India.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (28 Januari), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kawalan kesihatan di semua pintu masuk negara akan dipertingkatkan susulan penularan wabak virus Nipah di negeri Bengal Barat, India yang mampu mengundang maut.

“Ini termasuk di lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut serta pintu masuk sempadan darat.

“Antara langkah yang sedang dilaksanakan adalah pemantauan kesihatan dan saringan pelancong berasaskan penilaian risiko, penyediaan laluan rujukan yang jelas bagi pelancong yang bergejala atau disyaki menghidap penyakit berjangkit, serta kesiapsiagaan operasi Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) selaras dengan garis panduan penyakit berjangkit sedia ada,” menurut kenyataan itu.

KKM turut mengesahkan tiada kes baharu wabak virus Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit itu sejak September 1999 lalu.

Virus Nipah Mulanya Dibawa Oleh Kelawar Buah & Mula Merebak Kepada Babi & Manusia

Ramai juga yang mula cakna tentang wabak yang semakin tular di negara luar. Malah ia juga meningkatkan kebimbangan rakyat untuk melancong ke luar negara.

Tetapi mungkin ada yang tidak tahu, apakah virus Nipah?

Memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, virus Nipah menyebabkan penyakit yang boleh merebak antara haiwan kepada manusia. Ia pada awalnya dibawa oleh kelawar buah (genus Pteropus), juga dikenali sebagai flying fox.

Virus Nipah Mula Ditemukan Di Malaysia Pada 1999

Virus ini pertama kali ditemukan pada tahun 1999 susulan wabak pada babi dan manusia di Malaysia dan Singapura. Oleh disebabkan penyebaran wabak itu, 300 orang dilaporkan jatuh sakit dan lebih daripada 100 individu meninggal dunia.

Menurut CDC, kelawar yang pada mulanya menyebarkan virus Nipah kepada babi. Individu yang berdekatan dengan babi yang dijangkiti juga didapati jatuh sakit.

Memetik Harian Metro, wabak Nipah hanya dilaporkan di Bangladesh, India, Malaysia, Filipina dan Singapura. Pun begitu, kelawar buah yang membawa virus berbahaya ini ditemui di seluruh Asia, Pasifik Selatan dan Australia.

Kadar Penularan Tidak Seserius Covid-19 – Pakar

Jelas Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Nazarudin Safia, kadar kematian akibat jangkitan virus Nipah boleh mencecah antara 40 hingga 75%. Bagaimanapun, kadar penularannya jauh lebih rendah berbanding virus Covid-19.

Baca Artikel Berkaitan: “Koronavirus Mampu Bertahan 9 Hari Pada Permukaan Yang Kerap Di Sentuh Seperti Tombol Pintu..” – Saintis

Beliau turut mendedahkan bahawa sehingga kini, masih tiada vaksin khusus untuk mencegah virus itu sebaliknya hanya bergantung kepada langkah pengasingan sahaja.

“Covid-19 lebih mudah merebak tetapi kadar kematiannya hanya satu hingga 2% berbanding virus Nipah.”

Pelawat Luar Negara Yang Dijangkiti Berisiko Terlepas Pengesanan Di Pintu Masuk Malaysia

Perkara yang membimbangkan adalah virus ini boleh terperam dalam badan manusia sekitar empat hari hingga dua minggu atau lebih teruk melangkaui tempoh masa sebulan.

Dalam jangka masa yang lama itu, individu yang dijangkiti berisiko terlepas dikesan di pintu masuk utama negara, khususnya buat mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Saringan yang sedang kita buat itu akan terlepas untuk mengesan pesakit-pesakit, itu antara cabaran utama untuk virus ini”, kata Dr Nazarudin.

Tanda-tanda Virus Nipah

Berikut adalah gelaja simptom virus Nipah ini:

  • Masa inkubasi (masa beberapa hari sebelum simptom muncul): 4 hingga 14 hari selepas dijangkiti
  • Demam
  • Sakit kepala
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Sesak nafas
  • Radang otak — menyebabkan kekeliruan, mengantuk, sawan, dan koma dalam 24 dan 48 jam
  • Kematian

Langkah Keselamatan Elak Dijangkiti Virus Nipah

KKM dalam satu hantaran infografik di Instagram sebelum ini, menasihati orang ramai khususnya pengembara yang keluar dan dalam negara untuk sentiasa mengamalkan keselamatan seperti:

  • Mengamalkan kebersihan diri
  • Mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit
  • Elak pengambilan produk yang disyaki tercemar

Pengembara dari kawasan berisiko pula diminta untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan sebarang gejala.

Baca Artikel Berkaitan: Dr Wan Azizah Yakin Malaysia Dapat Kawal Wabak Bahaya

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.