Ini 3 Jenis Kanser Yang Ancam Golongan Lelaki
Jelas Pakar Perunding Ongkologi SMCV, Dr Hafizah Zaharah Ahmad perubahan metabolik disebabkan obesiti dan pemakanan yang tinggi lemak tepu boleh merosakkan sel serta mengganggu keseimbangan hormon.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kesihatan yang baik merupakan salah satu nikmat yang perlu disyukuri oleh setiap individu.
Namun untuk mendapatkan kesihatan baik setiap individu perlulah mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti melakukan senaman, mendapatkan tidur cukup dan berkualiti, makan makanan yang berkhasiat dan banyak lagi.
Selain itu, setiap individu juga boleh mengambil inisiatif seperti mendapatkan saringan kesihatan pada setiap tahun untuk mengetahui tahap kesihatan diri.
Walau bagaimanapun, dalam menjaga kesihatan mungkin ada juga segelintir yang diuji dengan penyakit yang tidak disangka seperti kanser. Bahkan ada juga kanser yang mengancam segelintir golongan seperti lelaki atau perempuan.
Ada 3 jenis kanser yang mengancam golongan lelaki
Secara amnya, terdapat tiga jenis kanser yang mengancam golongan lelaki dan perkara itu berlaku disebabkan rutin atau gaya hidup yang kurang sihat seperti tidur lewat, pengambilan makanan segera, waktu bekerja yang panjang, kurang bersenam.
Meskipun ia dilihat tidak bahaya namun rutin yang dianggap ‘biasa’ ini boleh membentu trend kesihatan yang membimbangkan untuk jangka masa panjang.
Memetik laporan Berita Harian, lelaki di Malaysia pada masa kini berdepan dengan peningkatan kanser yang ketara terutamanya kanser kolorektal, paru-paru serta prostat yang mana gaya hidup tak sihat menjadi penyumbang utama.
Menurut Pakar Perunding Ongkologi Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad meskipun faktor genetik memainkan peranan namun hanya 5% kes kanser yang berpunca dari keturunan.
“Ini bermakna, bagi majoriti lelaki, tabiat harian seperti pemakanan, tahap aktiviti fizikal dan komitmen terhadap saringan kesihatan memberi kesan paling besar terhadap risiko kanser,” ujarnya.
Berdasarkan laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021 risiko seumur hidup lelaki di Malaysia menghidap penyakit kanser meningkat dari 1:10 kepada 1:8.
Gaya hidup moden pengaruhi aktiviti atau rutin harian
Gaya hidup yang moden banyak mempengaruhi perkerjaan tidak aktif, kebergantungan kepada makanan yang telah diproses selain kurangnya masa untuk bersenam.
Bukan itu sahaja, perbuatan seperti duduk terlalu lama dan berat badan yang berlebihan juga boleh memberi risiko berlaku keradangan kronik, peningkatan hormon insulin dan kemudian boleh menggalakkan pertumbuhan tumor.
Jelas Dr Hafizah, perubahan metabolik disebabkan obesiti serta pemakanan yang tinggi lemak tepu boleh rosakkan sel dan ganggu keseimbangan hormon.
“Diet tinggi makanan proses dan gaya hidup kurang aktif meningkatkan risiko kanser. Kanser kolorektal, paru-paru dan prostat pula boleh dicegah melalui gaya hidup sihat dan pengesanan awal.”
Ramai abaikan tanda awal kanser
Menurut beliau lagi, kebanyakan lelaki mengabaikan tanda awal selain menganggap perkara itu boleh hilang dengan sendirinya.
Perunding Urologi SMCV, Dr Goh Cheng Hood memaklumkan keengganan dalam mendapatkan rawatan awal adalah kerana stigma sosial, khususnya apabila kesihatan melibatkan air kencing mahupun sistem reproduktif.
“Sesetengah lelaki beranggapan pergi berjumpa doktor menjadikan mereka kelihatan lemah atau memalukan. Akibatnya, simptom kecil diabaikan sehingga penyakit berada pada tahap lewat.
“Apabila sampai kepada kami, pilihan rawatan menjadi terhad dan peluang sembuh sepenuhnya semakin tipis. Jangan malu, rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Risiko yang boleh berlaku jika lambat bertindak
Bagi kanser kolorektal ia bermula dengan polip kecil yang ada pada dinding usus besar kemudian boleh berubah menjadi kanser dalam masa lima hingga 10 tahun.
Perkara yang boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal adalah:
- Diet yang rendah pengambilan serat
- Pengambilan daging merah serta daging proses dengan kerap
- Kurang aktiviti fizikal
- Tabiat merokok tingkatkan risiko kanser kolorektal 16%
Prosedur kolonokskopi boleh mengesan polis mahupun kanser di peringkat awal.
“Peningkatan pengambilan 100 gram (g) daging merah dan 25g daging proses sehari didapati meningkatkan risiko kanser kolorektal. Kurangkan atau elakkan pengambilan daging merah untuk menurunkan risiko.”
Rokok penyumbang terbesar dalam kanser paru-paru
Selain itu, merokok merupakan penyumbang yang terbesar dalam kanser paru-paru. Perkara ini berlaku disebabkan ribuan bahan kimia karsinogenik yang boleh merosakkan DNA serta mengundang kepada keradangan kronik.
“Sebanyak 95.4 peratus kes kanser paru-paru di Malaysia dikesan pada peringkat lewat. Ini membuktikan betapa pentingnya saringan terutama bagi perokok tegar,” jelasnya lagi.
Bagi kanser prostat pula, kesedaran mengenai penyakit ini masih rendah dan kebanyakan mereka yang menghadapinya mendapatkan rawatan selepas muncul simptom yang ketara.
Simptom awal kanser prostat:
- Kesukaran buang air kecil
- Aliran kencing lemah
Kata Dr Goh Cheng Hood, kanser prostat kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan lelaki yang berumur sekitar 58 tahun dan ke atas serta risiko meningkat untuk mereka yang mengambil suplemen testosteron.
“Pada peringkat awal, tiada simptom. Ramai hanya datang apabila kanser merebak dan mereka mengalami sakit tulang atau simptom neurologi.”
Selain itu, beliau turut menyarakan para lelaki melakukan ujian Prostate-Specific Antigen (PSA) bermula usia 50 tahun atau seawal 40 tahun untuk individu yang mempunyai risiko tinggi seperti pengguna testoteron dan mereka yang ada sejarah keluarga.
Kedua-dua pakar turut menyarankan golongan lelaki untuk mencegahnya menerusi gaya hidup yang sihat sebagai langkah paling berkesan seperti:
- Mengamalkan diet seimbang
- Banyak pengambilan buah, sayuran, dan bijirin
- Kurangkan makanan proses dan daging merah
- Berhenti merokok
- hadkan pengambilan alkohol
- Tidur yang cukup
- Bersenam secara berkala
- Urus tekanan untuk bantu kurangkan keradangan dalam tubuh
- Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi tekanan darah, kolesterolm glukosa, indeks jisim badan (BMI) serta ujian penanda kanser
- Saringan kanser yang disyorkan termasuk kolonoskopi setiap 10 tahun bermula usia 45 tahun serta imbasan CT dos renda untuk perokok jangka panjang



