Anak Wajib Beri Nafkah Kepada Ibu Bapa Yang Uzur & Tiada Pendapatan
Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, adalah wajar untuk setiap anak berazam untuk berbakti kepada ibubapa semampu mungkin kerana mereka telah membesarkan dari kecil.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pindaan undang-undang berhubung nafkah ibu bapa dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac 2026.
Perkara itu untuk memastikan kewajiban anak dalam menanggung nafkah terhadap ibu bapa yang uzur dapat dilakukan dengan berkesan menjelang Malaysia status negara tua 2030, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menggubal undang-undang baharu itu dengan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas serta khusus pada Mac 2026.
Kata beliau lagi, semua anak dipertanggungjawabkan untuk membantu memenuhi nafkah dan keperluan asas ibu bapa yang dalam keadaan tidak berupaya, lapor Sinar Harian.
Jelasnya proses penyediaan draf undang-undang itu digerakkan menerusi libat urus bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JKSM agar boleh diterima pakai oleh negeri-negeri lain.
Anak wajib beri nafkah kepada ibu bapa uzur dan tiada pendapatan
Walau bagaimanapun, setiap anak pasti mengetahui sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga ibu bapa, khususnya jika mereka sudah tua dan memerlukan pertolongan.
Menerusi laman sesawang, Mufti Wilayah Persekutuan turut ada menjelaskan tentang kewajiban anak lelaki dan perempuan memberikan nafkah kepada ibu bapa yang tiada pendapatan.
Jelasnya menerusi istilah Nafaqah atau nafkah bermaksud keperluan asas manusia, contohnya makanan, minuman, pakaian, serta tempat tinggal.
Jelasnya daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji, sekiranya kedua ibu bapa fakir (tidak berkemampuan/ miskin) dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua anak itu mesti memberi nafaqah kepada ibu bapa mereka.
“Hak ini demikian kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka.
“Sekiranya mereka berbeza dari sudut hampirnya – seperti anak dan cucu – maka nafaqah wajib kepada furu’ yang lebih hampir, sama ada mereka berhak mewarisi atau sebaliknya, sama ada lelaki atau perempuan. Hal ini demikian kerana hubungan kerabat yang hampir adalah lebih utama untuk diambil kira,” jelasnya.
Siapakah yang sepatutnya memberi nafkah?
Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir dari mazhab Maliki pula menjelaskan nafkah untuk ibu bapa dikeluarkan dari harta anak-anak yang berkemampuan.
Menerusi al-Ru’us, nafkah dikeluarkan secara sama rata oleh anak lelaki dan perempuan meskipun mempunyai kemampuan yang berbeza, atau mengikut perwarisan, seorang lelaki bersamaan dua orang perempuan, atau berdasarkan kemampuan, terdapat pelbagai pandangan ulama. Namun yang lebih rajih ialah yang akhir (berdasarkan kemampuan).
Imam al-Syafi’e pula berkata nafaqah (wajib) ke atas anak lelaki kerana ia berdasarkan (hukum) ‘asobah.
Manakala bagi Mazhab Hanbali adalah berdasarkan firman Allah SWT “وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ” yang bermaksud dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Maka hendaklah disusun nafaqah berdasarkan hak pewarisan (al-Mughni, 9/268).
Anak lelaki dan perempuan wajib bagi ibu bapa yang tiada mata pencarian
Oleh itu, bagi ibu bapa yang fakir dan tidak mempunyai mata pencarian adalah wajib untuk anak-anak tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan untuk memberikan nafkah.
“Semua anak-anak wajib bantu-membantu dalam memberi nafkah terhadap ibu bapa yang tidak berkemampuan, sementelahan lagi bagi anak-anak yang memiliki harta lebih dari keperluan.
“Sewajarnya bagi setiap anak berazam di dalam diri untuk berbakti kepada ibu bapa mereka seupaya mungkin lantaran ibu bapa itulah yang telah membesarkan mereka sejak kecil.”



