Boleh Ke Sedekah Duit Yang Dijumpai Ke Tabung Masjid? Ini Jawapannya [Video]
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman sesawang itu, seseorang yang menjumpai duit tersebut perlu berazam menjaganya dan memulangkan semula wang yang dijumpa jika dituntut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap individu pasti pernah berdepan dengan situasi seperti terjumpa wang tunai atau barangan orang lain di tempat awam.
Umum mengetahui apabila barangan atau harta tersebut bukanlah milik kita, maka tidak wajar untuk kita mengambilnya selagi tidak mendapat kebenaran tuannya.
Namun ada yang berfikir sukar untuk mencari tuan empunya wang memandangkan tidak mengenali individu tersebut dan sebagainya. Maka jalan penyelesaian mudah adalah dengan menyumbangkan wang itu ke tabung amal sebagai sedekah.
Lelaki sedekah duit dijumpai ke dalam tabung masjid
Baru-baru ini, seorang lelaki di media sosial turut memaklumkan dia ada menjumpai wang bernilai RM50 di jalanan sewaktu sedang membuat kerja menghantar makanan atau barangan.
Ekoran itu dia kemudian memasukkan wang itu ke dalam tabung masjid dan memaklumkan perkara itu di dalam media sosialnya.

Hantarannya itu kemudiannya mendapat perhatian ramai apabila ada yang memaklumkan duit yang tercicir dikira sebagai harta Luqatah di mana ia perlu diuar-uarkan terlebih dahulu untuk mencari tuan empunya sebelum disedekahkan.
Tidak kurang ada yang memaklumkan kepadanya wang itu tidak boleh disedekahkan. Sedar mengenai perkara itu dia kemudian berterima kasih atas perkongsian ilmu dari orang ramai.


Duit tercicir dikira sebagai Al-Luqatah
Menerusi laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, harta yang tercicir disebut dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah.
“Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarah di dalam kitabnya: Daripada Ibnu Qudamah Al-Handbali Al-Luqatah bermaksud ‘Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain’ (Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4856).
“Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: ‘Al-Luqatah mengikut syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpa di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya’ (Fiqh Al-Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 7/69),” katanya.
Syeikh Mustafa Bugha turut mengklasifikasikan Al-Luqatah kepada dua bahagian iaitu:
- Harta Al-Luqatah – jika menjumpai haiwan perliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikan kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan diri sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak boleh menguruskan diri sendiri seperti anak lembu.
- Harta Al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan untuk mengambil barangan berkenaan dan menjaganya. Perkara itu tertakluk kepada hukum syariat samaada wajib atau tidak.
Hukum dan situasi pengambilan harta Al-Luqatah
Berhubung hukum mengambil harta Al-Luqatah, terdapat perbezaan pendapat daripada fuqaha mengenainya.
Mazhab Syafie dan Hanafi membolehkan barangan itu diambil kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya.
Manakala mazhab Maliki dan Hanbali melarangnya. Ia berkenaan dengan hal ini Syeikh Mustafa Bugha menggariskan beberapa pembahagian seperti:
- Sunat mengambilnya untuk seseorang yang beramanah serta mampu menjaga jika merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
- Harus mengambilnya jika seseorang yang beramanah dan mampu untuk menjaga barangan itu sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
- Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya jika meyakini barang itu akan hilang jika tak diambil. Ini kerana menjaga harta orang Islam itu adalah wajib.
- Makruh untuk mengambil barangan tersebut jika merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
- Haram mengambil barangan itu kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.
Kesimpulannya seseorang yang menjumpai barangan itu perlu:
- Berazam untuk menjaga dan pulangkan semula wang atau barangan yang dijumpai itu sekiranya dituntut.
- Melakukan hebahan kepada orang ramai di kawasan terbabit yang dijumpai selama mana anggaran bahawa pemiliknya tidak akan mencari lagi. Kemungkinan selama 3 hari atau kurang mengikut anggaran nilai berkenaan.
- Jika di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut maka dibenarkan untuk menggunakannya serta sanggup membayar semula jika barangan terbabit dituntut semula.
Hebahkan di media sosial dahulu, boleh sedekah di masjid jika masih belum jumpa tuan empunya mengikut tempoh tertentu
Kata Mufti Wilayah Persekutuan sebaiknya wang yang dijumpa itu dihebahkan menerusi media sosial seperti Facebook atau Whatsapp.
Walau bagaimanapun tempohnya adalah berbeza bergantung kepada nilainya.
“Setelah itu sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya dalam tempoh yang tertentu duit itu boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim.
“Namun sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan berautoriti bagi menguruskan harta itu.”
Perkara sama turut dijelaskan oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menyarankan agar wang yang dijumpai diiklan selama setahun melainkan nilainya begitu kecil.



