fbpx
Now Reading
Apa Hukum Kongsi Hal Rumah Tangga Di Media Sosial? Ini Jawapan Pejabat Mufti WP

Apa Hukum Kongsi Hal Rumah Tangga Di Media Sosial? Ini Jawapan Pejabat Mufti WP

Sudah semakin ramai yang terbiasa dengan perbuatan menceritakan ‘hal dalam kain’ di media sosial walaupun dengan orang yang mereka tidak kenali.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Memang tidak dapat dinafikan, media sosial sudah pun menjadi sebahagian daripada rutin masyarakat moden pada masa kini.

Bagaimanapun ramai pula individu yang dilihat semakin selesa menggunakan platform media sosial masing-masing sehinggakan tidak segan untuk menyebarkan hal peribadi termasuklah konflik rumah tangga.

Perkara yang sepatutnya dirahsiakan antara suami isteri disebarkan kepada orang lain yang tidak dikenali dengan hanya beberapa klik sahaja di hujung jari.

Lebih parah lagi apabila masalah rumah tangga yang pada awalnya masih boleh diselamatkan bertukar menjadi lebih keruh selepas banyak pihak yang tidak mengetahui hujung pangkalnya masuk campur.

Baca Artikel Berkaitan: Hentikan Amalan ‘Spill The Tea’, Dr Zulkifli Perjelas Hukum Sebarkan Aib Di Khalayak Ramai

Hukum Sebar Hal Rumah Tangga Di Khalayak Ramai

Ada segelintir yang berkata mereka hanya memerlukan seseorang bagi mendengar masalah dilalui. Namun persoalannya apakah hukum menyebarkan konflik rumah tangga secara bebas di media sosial dari sudut pandangan Islam?

Menerusi semakan kami, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada mengulas tentang isu tersebut pada minggu lalu.

Menurut Pejabat Mufti, Allah SWT menggambarkan hubungan suami isteri dengan ungkapan yang sarat makna dan keindahan, mencerminkan kasih serta ketenangan yang sepatutnya wujud dalam sebuah perkahwinan. Firman-Nya:

هُنَّ لِبَاس لَّكُم وَأَنتُم لِبَاس لَّهُنَّۗ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

[Surah al-Baqarah (187)]

Perumpamaan ini menunjukkan bahawa suami isteri seharusnya bertindak sebagai pakaian yang melindungi pasangannya daripada pandangan orang lain, menjaga kehormatan serta rahsia rumah tangga dan bukannya mendedahkan kekurangan atau aib antara satu sama lain.

Sumber: Freepik

Individu Sebar Aib Pasangan Berada Di Kedudukan Paling Buruk Di Sisi Allah

Perbuatan membuka hal peribadi pasangan itu dalam masa sama sangat dibenci Allah Yang Maha Besar.

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”

[Riwayat Muslim]

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Freepik

Namun Ada Situasi Yang Membenarkan Seseorang Ceritakan Aib Pasangan

Islam dalam masa sama menegakkan prinsip keadilan dengan mempertahankan hak individu yang dizalimi serta menolak segala bentuk penindasan.

Tindakan menyebarkan kesalahan atau aib seseorang kepada khalayak umum atau melalui saluran yang tidar wajar turut dianggap sebagai satu bentuk kezaliman yang dilarang agama.

Oleh disebabkan itu, terdapat kaedah lebih baik yang ditetapkan syarak bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Dalam Islam, ada beberapa keadaan yang dibenarkan untuk menceritakan aib atau keburukan seseorang iaitu jika ada sebab yang benar menurut syarak dan tidak dapat dielakkan dengan cara lain. Antaranya:

  1. Untuk menuntut sesuatu keadilan (mengadu kezaliman)
  2. Mencegah kemungkaran
  3. Meminta fatwa atau nasihat hukum
  4. Memberi nasihat atau amaran kepada masyarakat
  5. Ketika seseorang melakukan maksiat secara terang-terangan
  6. Untuk tujuan pengenalan dengan menyebut gelaran buruk yang biasa digunakan untuk mengenalinya
Sumber: Freepik

Antara dalil yang menjadi sandaran kepada hukum di atas ialah hadis daripada Aisyah RA yang meriwayatkan kisah Hindun ketika beliau mengadu kepada Rasulullah SAW tentang sifat suaminya, Abu Sufyan.


إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah aku boleh mengambil hartanya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik’.”

[Riwayat Bukhari]

Hadis tersebut menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Maruah Keluarga Adalah Kunci Kepada Keharmonian Rumah Tangga

Secara umumnya, setiap perhubungan mempunyai pasang dan surutnya. Justeru, adalah sebaik-baiknya untuk menyelesaikan hal peribadi suami isteri secara tertutup dan berhemah.

Selain itu, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada ahli keluarga terdekat yang dipercayai atau mendapatkan khidmat kaunselor bertauliah sebelum mengambil tindakan melulu.

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Pexels

Langkah tersebut dikatakan lebih selamat dan mencerminkan identiti Muslim yang bijak menguruskan ujian dan dugaan.

Di samping itu, penting juga untuk setiap individu menggunakan media sosial dengan baik bagi mengelakkan hal rumah tangga anda menjadi hiburan dan bualan orang ramai.

Ingat, jangan mudah terpedaya dengan ungkapan ‘spill the tea’ dari netizen yang busybody.

Baca Artikel Berkaitan: Elak Ungkit Aib & Kekurangan Pasangan, Terutamanya Lepas Berpisah – Dr Zulkifli

Baca Artikel Berkaitan: “Kena Bijak Guna Media Sosial” – Wanita Ini Tegur Individu Sebar Aib Sendiri Guna Trend Di TikTok

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.