Normal Ke Darah Haid Keluar Sedikit Selepas Hari Ke-3? Ini Penjelasan Doktor
Menurut Dr Raihana, hormon seseorang wanita berada dalam keadaan seimbang dan sistem badan berfungsi dengan baik sekiranya haid datang on time pada setiap bulan dan ada beberapa faktor lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap wanita yang sudah akil baligh pasti akan didatangi haid pada setiap bulan untuk beberapa hari.
Haid yang datang pada setiap bulan adalah perkara yang normal namun adakalanya mungkin segelintir wanita sedikit keliru dengan jumlah hari, kuantiti darah yang keluar dan sebagainya.
Ada juga yang mungkin bimbang sekiranya darah haid yang keluar terlalu sedikit atau terlalu banyak.
Normal ke haid sedikit selepas hari ketiga?
Terbaharu usahawan Pengasas Efferty dan pengamal perubatan Doktor Raihana Ismail turut ada menjelaskan mengenai adakah normal darah haid sedikit selepas hari ketiga.
Menerusi hantaran di Threads, Dr Raihana memaklumkan darah haid yang keluar sedikit pada hari ketiga adalah dalam kategori normal untuk kebanyakan wanita.
Jelasnya setiap individu wanita mempunyai pattern (pola) haid yang berbeza dan tidak semua sama.
“Ada yang tiga hari dah habis (haid), ada yang sampai tujuh baru betul-betul kering, dan kedua-dua boleh dikira normal selagi kitarannya tetap dan tak terlalu banyak darah keluar.
“Biasanya, masa dua ke tiga hari pertama haid, lapisan dalam rahim (yang dipanggil endometrium) sedang luruh.
“Itulah sebab darah keluar banyak pada awalnya sebab badan tengah ‘bersihkan’ lapisan yang berbentuk masa fasa subur sebelum ni.
“Lepas beberapa hari, bila lapisan itu makin menipis, darah pun makin berkurang,” ujarnya.
Darah keluar sedikit, berlaku perubahan warna darah di akhir proses haid
Oleh itu, adalah biasa jika pada hari keempat, kelima dan seterusnya darah haid tersebut keluar sedikit-sedikit.
Malah terdapat juga perubahan warna pada darah haid berkenaan seperti pudar atau kecoklatan, itu bermaksud badan sedang menghabiskan sisa darah terakhir dari proses terbabit.
Namun apa yang penting, seseorang itu perlu mengetahui beza antara darah haid yang keluar normal atau tidak.
“Kalau darah tu terlalu banyak sampai kena tukar pad setiap jam, atau ada darah beku besar macam duit syiling lima puluh sen, itu dah dikira heavy bleeding (darah keluar banyak) dan elok jumpa doktor.
“Sama juga kalau kitaran haid anda tak menentu, contohnya datang dua bulan sekali atau datang terlalu cepat seperti setiap dua minggu, itu juga boleh jadi tanda hormon tidak stabil,” katanya lagi.
Hormon anda berada dalam keadaan seimbang serta sistem badan berfungsi dengan baik jika:
- Kitaran haid datang tepat pada setiap bulan(on time).
- Normal untuk darah haid heavy pada tiga hari pertama dan sedikit sehingga hari ketujuh.
- Tidak mempunyai rasa sakit yang luar biasa
- Tiada darah berketul dan bersaiz besar keluar
Badan ada cara tersendiri untuk ‘flush out’
Jelas Dr Raihana lagi badan wanita mempunyai caranya tersendiri untuk ‘flush out’ lapisan rahim berkenaan. Maka selagi ia mengikut pattern yang sama pada setiap bulan para wanita tidak perlu terlalu risau.
“Tapi kalau ada perubahan ketara tiba-tiba, contohnya period makin panjang, makin heavy, atau langsung tak datang, itu baru elok buat pemeriksaan dengan doktor atau scan rahim untuk pastikan semuanya okay.”
Normal jika haid seterusnya dalam kitaran 28-35 hari
Di ruangan balas ada juga yang bertanya adakah normal jika tarikh didatangi haid lebih awal dari sebelumnya.
Dr Raihana memaklumkan ia adalah perkara yang normal kerana ia masih dalam kitaran 28-35 hari.
View on Threads



