Boleh Ke Baca Doa Qunut Selain Dari Solat Subuh? Ini Penjelasannya [Video]
Imam, Zaid Amran dalam video tersebut dilihat mengangkat tangan membaca doa qunut sewaktu mendirikan solat Zohor berjemaah sehingga membuatkan Bilal kebingunggan sebelum bertanya sebaik selesai sembahyang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Solat lima waktu merupakan ibadah wajib yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam.
Dalam melakukan ibadah itu terdapat rukun yang perlu dibuat agar solat yang didirikan sah.
Namun dalam rukun wajib tersebut terdapat juga ibadah sunat yang dilakukan seperti membaca doa qunut ketika solat Subuh dan banyak lagi.
Akan tetapi ada juga segelintir yang keliru mengapa doa qunut turut dibacakan selain daripada solat Subuh.
Imam jelaskan kenapa doa qunut boleh dibaca pada waktu lain selain subuh
Baru-baru ini, Geng Masjid Kg Nakhoda di Batu Caves, Selangor turut berkongsi mengapa doa qunut dibaca pada waktu lain seperti solat Zohor.
Menerusi video sketsa yang dikongsikan di TikTok, awalnya kelihatan Imam, Zaid Amran sedang mendirikan solat Zohor secara berjemaah bersama Bilal, Ahmad Syaqiq Shuhari di dalam masjid.
Tidak lama kemudian kelihatan Imam mengangkat tangan dan membaca doa qunut. Bilal yang menyedari perkara itu kemudiannya menyebut ‘Subhanallah’ kerana menyangkakan Zaid tersilap dalam solat.
Namun Zaid dilihat masih meneruskan bacaan doa qunut tersebut sehingga mereka selesai solat berjemaah.
Qunut Nazilah dibaca dalam solat ketika berlaku musibah menimpa umat Islam
Sebaik selesai, Bilal bertanya kepada Imam mengapa dia membaca doa qunut sewaktu mendirikan solat Zohor kerana di dalam mazhab Syafie doa itu dibaca pada solat Subuh sahaja.
“Betul dalam mazhab Syafie, doa qunut memang dibaca pada waktu subuh sahaja. Tapi dalam kitab munghni al muhtaj disebutkan kalau berlaku musibah atau bencana besar yang menimpa umat Islam disunatkan untuk kita membaca qunut Nazilah dalam semua solat fardu di rakaat yang terakhir,” ujarnya.
Malah Imam turut memberikan contoh iaitu situasi yang sedang dihadapi oleh rakyat di Palestin dan juga insiden yang berlaku terhadap peserta Global Sumud Flotilla (GSF) apabila ramai yang ditahan oleh tentera Israel sewaktu sedang dalam perjalanan membawa bantuan.
“Maka sebab itu kita baca qunut Nazilah memohon pertolongan Allah untuk mereka.”
Malah baru-baru ini, semua masjid dan surau di Melaka diseru untuk membaca qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat Jumaat.
Bahkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menggalakkan pelaksanaan doa itu diperluaskan ke dalam solat fardu ekoran tindakan rejim Zionis mengganggu konvoi GSF.
Tiada had tempoh ditentukan sampai bila ingin membaca qunuh Nazilah
Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan dalam membaca qunut Nazilah tiada sebarang had tempoh yang ditentukan untuk membacanya.
“Ia sunat untuk dibaca selagi musibah yang menimpa umat Islam itu belum berakhir. Namun suka kami mengingatkan bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah berada di bawah ruang lingkup bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
“Sebarang arahan yang diputuskan di peringkat negeri pastinya telah mengambil kira maslahat dan keadaan semasa bagi negeri tersebut. Justeru umat Islam adalah dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berwajib di negeri masing-masing,” jelasnya.
Berikut adalah doa Nazilah:



