Sah Ke Solat Berjemaah Jika Makmum Mengelamun Hingga Lupa Baca Al-Fatihah? Ini Penjelasannya [Video]
Jelas Imam Masjid Kg Nakhoda, Zaid Amran surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat dan sekiranya tertinggal maknanya rakaat tersebut tidak sah jika individu itu adalah makmum muafik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap yang bergelar umat Islam mengetahui bahawa solat lima waktu merupakan ibadah wajib yang perlu dilakukan setiap hari.
Malah kita juga turut disarankan untuk melakukan solat berjemaah tidak kiralah di masjid mahupun di rumah jika berkesempatan.
Ini kerana solat berjemaah memberikan ganjaran pahala yang lebih besar sebanyak 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.
Namun tak dinafikan dalam melakukan solat berjemaah pasti kita ada berdepan dengan situasi yang membuatkan seseorang makmum itu tertanya-tanya apakah hukum dan perkara yang perlu dilakukan jika berada dalam keadaan kekeliruan.
Sah atau tak solat jika makmum terlupa baca al-Fatihah ketika berjemaah?
Baru-baru ini Geng Masjid Kg Nakhoda di Batu Caves, Selangor turut tidak ketinggalan untuk menerangkan perkara yang perlu dilakukan jika makmum terlupa membaca al-Fatihah sewaktu sedang melakukan solat berjemaah.
Menerusi video sketsa yang dikongsikan di TikTok, awalnya kelihatan Bilal, Ahmad Syaqiq dan Imam, Zaid Amran sedang berjemaah di masjid.
Kelihatan Bilal sewaktu mendirikan solat seperti tidak fokus dan termenung, malah dia hanya mengikuti apa yang dilakukan oleh Imam.
Sebaik Imam mengangkat takbir untuk rukuk, Bilal kemudian menyedari dia tidak sempat membaca al-Fatihah iaitu antara rukun wajib dilakukan sewaktu mendirikan solat.
Apabila selesai berjemaah, Bilal kemudian segera bertanya kepada Imam adakah solat yang dilakukan sah kerana terlupa membaca al-Fatihah sebelum rukuk sewaktu berjemaah.
Bilal adalah makmum muafik dan wajib baca al-Fatihah, jika lupa perlu tambah satu rakaat
Imam lalu bertanya kepada Bilal adakah dia datang awal atau lambat sewaktu berjemaah. Bilal kemudian memaklumkan dia datang awal.
“Kalau awal maknanya awak sebagai makmum muafik. Makmum muafik wajib untuk membaca surah al-Fatihah walaupun dalam solat berjemaah.
“Sebab surah al-Fatihah ni rukun solat. Kalau tak baca, batal solat jadi kalau tertinggal al-Fatihah maknanya rakaat itu tidak sah.
“Solusi dia lepas imam bagi salam awak tambah sahaja satu rakaat dan diakhir solat disunatkan untuk membuat sujud sahwi,” jelasnya.
Kata Zaid lagi, ia berbeza dengan mereka yang menjadi makmum masbuk kerana individu itu tak wajib habiskan al-Fatihah dan hanya perlu terus mengikut imam seperti biasa.
Makmum masbuk bermaksud individu yang datang lewat sewaktu solat berjemaah dan tak sempat membaca al-Fatihah bersama imam.
@gengmkn Suka ngelamun😂 Dapatkan buku panduan umrah wanita di @mursyidalharamain #ilmu #solat #bilal
♬ original sound – Geng MKN – Geng MKN
Makmum masbuk tak perlu habiskan bacaan al-Fatihah tetapi terus ikut imam
Laman sesawang Mufti Selangor, turut menjelaskan mengenai makmum masbuk.
Jelasnya masbuk ialah seorang makmum yang tidak sempat berdiri bersama imamnya sekadar masa bacaan surah al-Fatihah selepas takbiratul ihramnya.
Hukum makmum masbuk adalah seperti berikut:
- Makmum masbuk tidak wajib menghabiskan bacaan surah al-Fatihah.
- Bacaan surah al-Fatihah makmum masbuk hendaklah ditanggung oleh imam.
- Untuk mendapat rakaat, makmum masbuk hendaklah mendapat tomakninah bersama imam di dalam rukuk.
“Jika seorang makmum masbuk yang belum sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah. Maka apabila imam rukuk, makmum tersebut hendaklah turut rukuk bersama imam dan meninggalkan bacaan surah al-Fatihah.
“Jika makmum sempat rukuk beserta tomakninah bersama imam, makmum dikira mendapat rakaat tersebut, kerana bacaan surah al-Fatihah makmum yang masbuk itu ditanggung oleh imam,” jelasnya.
Walau bagaimanapun sekiranya seorang makmum masbuk tidak sempat rukuk bersama imamnya kerana menghabiskan bacaan surah al-Fatihah maka makmum tidak mendapat rakaat tersebut.
“Bahkan makmum tersebut wajib menambah satu rakaat apabila imam memberi salam.”



