fbpx
Now Reading
Betul Ke Mimpi Adalah Jawapan Kepada Istikharah? Ini Penjelasannya

Betul Ke Mimpi Adalah Jawapan Kepada Istikharah? Ini Penjelasannya

Solat istikharah merupakan salah satu cara untuk meminta petunjuk serta jalan yang terbaik dalam perkara yang dihadapi dan hukumnya adalah sunat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap kali berada dalam keraguan atau sukar membuat pilihan dalam kehidupan tidak kiralah ia membabitkan soal jodoh, kerjaya dan sebagainya kita sering dinasihatkan untuk melakukan solat sunat istikharah.

Ini kerana solat sunat istikharah yang dilakukan bertujuan untuk meminta bantuan daripada Allah SWT dalam membuat pilihan yang terbaik.

Kita juga sering mendengar ramai yang mengatakan jawapan kepada istikarah yang dilakukan adalah menerusi mimpi. Namun sejauh manakah kebenaran serta status bahawa jawapan istikharah terbabit diberikan melalui mimpi.

Betul ke jawapan istikharah melalui mimpi?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sesawangnya turut mengulas mengenai perkara ini selepas ada yang bertanya ‘adakah diisyaratkan bermimpi pilihan tertentu sebagai jawapan kepada istikharah yang dilakukan?’

Jelasnya, istikharah adalah salah satu cara untuk meminta petunjuk dan jalan yang terbaik dalam perkara yang dihadapi dan hukumnya adalah sunat. Malah ia juga sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada para umatnya.

Bukan hanya itu, Allah SWT turut menggalakkan hambanya untuk meminta petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang perlu dipilih. Allah SWT berfirman:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ

Maksudnya: Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang. (Surah al-Baqarah: 45)

Tiada sandaran dalam syarak dan tak diisyaratkan jawapan istikharah melalui mimpi sahaja

Malah Pejabat Mufti mengingatkan bahawa istikharah bukanlah sesuatu yang dilakukan untuk memilih perkara ketaatan mahupun maksiat, halal atau haram, afdal atau yang kurang afdal sebaliknya untuk memilih antara dua perkara yang sukar untuk dipilih kerana kedudukan serta kebaikan.

“Apabila seseorang telah melakukan istikharah, maka Allah SWT akan memberikan taufiq dan hidayah kepada orang yang melaksanakannya untuk menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin.

“Walau bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur.

“Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpi tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak diisyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja,” jelasnya.

Malah para ulama turut menyatakan antara petunjuk yang diberikan kepada Allah SWT kepada individu yang melakukan istikharah adalah dengan lapangnya dada dalam membuat sesuatu keputusan.

Perkara ini turut disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kita al-Adzkar yang berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم

Maksudnya: Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. WaAllahu a’lam. (Rujuk al-Adzkar al-Nawawiyyah, 2:241)


ثمَّ يَنْهَض بَعْد الاسْتِخَارَة لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ

Maksudnya: Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab3:546)

Perlu ulang istikharah jika rasa ragu-ragu untuk buat keputusan

Namun sekiranya masih tidak dilapangkan dada atau ragu-ragu dalam membuat pilihan hendaklah seseorang itu mengulangi istikharahnya sehingga rasa lapang untuk buat keputusan.

Akan tetapi jika sesuatu pilihan atau keputusan yang perlu dilakukan itu tidak boleh ditunda adalah baik dia meneruskan urusan tersebut dengan perkara yang dirasakan mudah baginya.

Oleh itu secara kesimpulannya dapat di konklusikan sesuatu jawapan itu tidak semestinya melalui mimpi bahkan ia tidak diisyaratkan dalam istikharah yang dilakukan.

Tetapi petunjuk yang diberikan juga adalah melalui lapangnya dada untuk membuat sesuatu keputusan serta dipermudahkan urusan.

“Justeru itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpanya.

“Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap usuran yang kita usahakan.”

Sesungguhnya tidak akan menyesal dan kecewa orang yang melaksanakan istikharah dan istisyarah kepada Allah SWT berdasarkan satu hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلَا عَالَ مَن اقتَصَد

Maksudnya: Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana (Hadith riwayat al-Tabrani (6:365).

Dipermudahkan kepada seseorang dalam membuat keputusan antara ciri diisyaratkan jawapan istikharah

Perkara yang sama turut dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus, yang mengatakan adakalanya jawapan istikharah tidak dapat dilihat dan kadang-kadang Allah SWT permudahkan kepada diri seseorang dalam membuat keputusan.

“Dia begini je, kadang-kadang tidak nampak apa-apa pun. Kadang-kadang Allah beri kemudahan bagi kita. Kalau Allah SWT permudahkan bagi kita, Allah nak bantu kita. Kalau benda itu baik, maka ia akan jadi lebih mudah.

“Kalau benda tu Allah tak suka, atau tidak baik berlaku kepada kita. Dia akan jadi masalah, halangan dan sebagainya. Itu dipanggil sebagai ciri-ciri isyarat,” katanya.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Tidak Muncul Dalam Mimpi, Gadis Nekad Putuskan Hubungan

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Wadi Anuar Kongsi 10 Waktu Mustajab Untuk Berdoa

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.