Betul Ke Makan Seafood Punca Kena Gout? Ini Penjelasan Dr Malar
Menurut Dr Malar kurang air di dalam badan juga boleh menjadi punca seseorang itu terkena serangan gout.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai budaya termasuklah makanan.
Malah sebut sahaja jenis makanan yang diinginkan pasti ia boleh didapati di negara ini. Jika berkunjung ke kawasan pantai atau laut pula pasti ramai yang tak akan melepaskan peluang untuk mencuba makanan laut (seafood) yang segar.
Bahkan rasa manis daripada kesegaran makanan laut dan cara masakan membuatkan ramai yang makan sehingga menjilat jari.
Namun ada yang mengaitkan makanan laut sebagai punca seseorang mengalami gout atau situasi di mana acid uric dalam badan meningkat. Ada juga mengatakan penyakit itu tidak dialami jika makan makanan laut sahaja tetapi kekacang dan juga daging.
Dr Malar jelaskan apakah punca gout
Terbaharu pengamal perubatan terkenal, Dr Malar Santhi Santherasegapan atau dikenali celoteh Dr Malar ada menerangkan mengenai punca masalah gout yang dialami oleh segelintir individu.
Menerusi hantaran di Thread, mereka yang mengalami gout ini akan berasa sakit pada bahagian kaki sehingga sukar untuk berjalan dan sendi menjadi bengkak.
Ujar Dr Malar penyakit ini tidak hanya dialami oleh golongan dewasa sahaja bahkan ada juga menyerang golongan muda.

Punca masalah gout berlaku
Jelasnya ramai yang menyangkakan sakit gout ini datang disebabkan pengambilan makanan laut serta daging. Namun terdapat beberapa punca menyebabkan serangan gout ini seperti:
#1 Tubuh menghasilkan purin berlebihan
Menurutnya purin merupakan bahan semula jadi namun sekiranya ia terlalu banyak ia akan memberikan masalah.
Sebab badan menghasilkan purin yang banyak juga terbahagi kepada beberapa perkara seperti:
- Genetik iaitu segelintir individu sememangnya ada kecenderungan keturunan.
- Obesiti di mana masalah berat badan tinggi menghasilkan lebih purin dan sukar untuk disingkirkan.
- Mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang lemah, psoriasis yang boleh mengganggu kepada pembuangan purin di dalam badan.
Oleh itu jika badan sudah mempunyai purin yang tinggi, ia tidak boleh ditambah daripada makanan.
#2 Air kurang di dalam badan atau dehidrasi
Umum mengetahui air merupakan sumber yang sangat penting kepada badan. Bukan sahaja ia diperlukan untuk sistem perkumuhan bahkan air yang kurang juga boleh menjadi punca seseorang diserang gout.
Apabila air kurang di dalam badan, buah pinggang sukar untuk membuang purin, oleh itu uric acid berkumpul dan gout mula menyerang.
#3 Ubat-ubatan tertentu
Terdapat juga beberapa ubat yang mungkin boleh menjadi punca seseorang mendapat serangan gout seperti:
- Ubat tahan sakit (NSAIDs)
- Ubat air kencing (Diuretik)
- Immunosuppressant
Cara mengelakkan daripada terkena gout
Kata Dr Malar lagi gout bukanlah sekadar sakit sendi sebaliknya ia juga boleh mengganggu rutin kehidupan seseorang seperti bekerja, melakukan ibadah dan kualiti hidup jika ia tidak dikawal.
Oleh itu terdapat beberapa cara untuk mengelak daripada terkena gout atau mengurangkan risiko dari terkena serangan penyakit ini antaranya:
- Kurangkan makanan tinggi purin seperti organ dalaman, makanan laut, dan air manis.
- Minum air kosong secukupnya pada setiap hari.
- Jaga berat badan ideal.
- Rujuk doktor sekiranya ada mengambil sebarang ubat-ubatan.
- Pantau tahap uric acid sekiranya ada sejarah dalam keluarga.
“Gout boleh dikawal, jangan tunggu sampai tak boleh berjalan baru nak ambil tindakan,” katanya.

Memetik Hello Doktor, pesakit juga perlu mengambil ubat yang disarankan untuk merawat masalah gout.
Selain itu, anda juga boleh meletakkan pek ais jika boleh bertolak ansur dengan tekanan pek berkenaan. Ini kerana ia boleh memberikan kelegaan rasa sakit untuk mengurangkan keradangan dan isyarat sakit.
Dapatkan rehat yang cukup dan apa yang paling penting adalah kawal pemakanan serta dapatkan rawatan doktor dengan segera.





