fbpx
Now Reading
Zumba Boleh Undang Fitnah Kepada Wanita? Ini Penjelasan Ustazah Asma

Zumba Boleh Undang Fitnah Kepada Wanita? Ini Penjelasan Ustazah Asma

Menurut Ustazah Asma zumba merupakan salah satu senaman yang berasaskan tarian moden dan ia memang menarik perhatian apatah lagi jika diperhatikan oleh kaum lelaki yang bukan mahram.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tak dinafikan di dalam Islam kita sentiasa dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan ini termasuklah dari segi gaya hidup, pemakanan, keadaan persekitaran dan banyak lagi.

Selain hidup dalam keadaan selesa serta bersih, ramai di antara kita yang akan melakukan senaman untuk mengekalkan stamina, kecerdasan dan sebagainya.

Namun umum mengetahui tidak semua sukan adalah bersesuaian atau haram dilakukan sebagai contoh yoga kerana ia mempunyai unsur keagamaan. Selain itu pemakaian dan pergerakan sukan-sukan lain perlu dititikberatkan sebelum ingin melakukannya.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Yoga Nasihat Umat Islam Jangan Amalkan Yoga

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Adakah Pilates Haram Seperti Senaman Yoga? Ini Penjelasannya

Ustazah Asma jelaskan sukan zumba buka ruang fitnah

Baru-baru ini pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun telah menjelaskan mengenai sukan zumba yang sering disertai oleh para wanita.

Menurut Ustazah Asma sukan ini kebiasaannya dilakukan di kawasan terbuka seperti taman, dataran atau ruang awam.

“Antara alasan yang sering diberi ‘pakaian kami longgar dan labuh…,’ ‘semua peserta wanita..’, ‘kami hanya nak sihat, bukan nak tunjuk badan.’

“Namun bolehkan situasi ini dilakukan di kawasan yang terbuka? Adakah semua alasan yang diberi boleh menghalalkan perlakuan yang telah jelas membuka ruang kepada fitnah dan dosa?

“Niat untuk sihat itu sangat baik dan Islam memang menyokong usaha menjaga kesihatan. Namun niat yang baik tidak menghalalkan cara yang bercanggah dengan syariat. Aktiviti yang membuka ruang pandangan ajnabi, gerakan menggoda dan rentak muzik berlebihan tetap berada dalam sempadan larangan syarak,” jelasnya.

Isu utama bukan pada pakaian sahaja tetapi pergerakan badan yang dilakukan depan khlayak umum

Kata beliau lagi, isu utamanya bukanlah pada pakaian semata-mata sebaliknya pergerakan badan yang menyerupai tarian, rentak muzik rancak dan perkara itu dilakukan di hadapan khalayak ramai.

Zumba pula merupakan salah satu senaman yang berasaskan tarian moden dan ia memang menarik perhatian apatah lagi jika diperhatikan oleh lelaki bukan mahram.

Secara tidak sedar ia bukan lagi senaman tetapi ruang kepada fitnah dan pintu maksiat.

Jelasnya lagi joget mahupun menari dalam istilah fiqh disebut ar-Rasqshu di dalam kamus Mu’jam alWasith menyebutkan, ar-Raqshu adalah seseorang berpindah-pindah posisi dan menggerakkan badannya sesuai irama muzik atau nyanyian.

Manakala para ulama dalam al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhus Wal Ifta’ menyebutkan:

“Wajib juga bagi mereka untuk menjauhi sebab-sebab fitnah (godaan). Dan di antara godaan yang paling besar adalah joget atau menarinya mereka di depan lelaki yang bukan mahram. Ini hukuman haram, tidak dibolehkan.

“Malah hukum haram yang sama turut dikenakan kepada lelaki yang memiliki rupa paras yang menawan apabila mereka menari di hadapan orang yang memiliki kencendurangan syahwat kepada sejenis ataupun di hadapan sesiapa sahaja yang boleh tergoda dengan mereka.”

Pandangan mata yang tak dijaga boleh undang kepada dosa

Meskipun ia tidak mempunyai interaksi secara fizikal antara lelaki dan juga wanita namun pandangan mata yang tak dijaga sudah cukup untuk mengundang dosa.

Selain itu, suasana terbuka pula menjadikan wanita mudah diperhatikan, dirakam bahkan ia mungkin juga dikongsikan dalam media sosial tanpa izin.

“Sedangkan Islam sangat menjaga maruah wanita dan setiap langkah keluar wanita dari rumah perlu disertai dengan rasa takut kepada fitnah dan kehinaan.

“Menurut fatwa rasmi Dar al-Ifta’ Mesir, wanita wajib menutup aurat dengan pakaian yang longgar dan tidak membentuk tubuh. Apa sahaja perbuatan atau pakaian mendedahkan bentuk badan secara nyata termasuk dalam larangan walaupun niatnya bukan untuk menggoda.

“Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin mengingatkan bahawa bukan hanya aurat luaran yang dijaga, tetapi juga gerakan tubuh wanita yang boleh membangkitkan syahwat lelaki. Walapun wanita itu tidak membuka auratnya, jika tubuhnya bergerak dengan gaya yang menggoda, ia tetap dilarang,” ujarnya lagi.

Ustazah Asma turut mengatakan ia senaman yang membabitkan pergerakan fizikal dan tak sesuai dilakukan di tempat awam disebabkan boleh mengundang kepada kurang rasa malu dan buka peluang kepada syahwat serta pandangan yang tak halal.

Cara yang boleh dilakukan jika ingin melakukan senaman Zumba

Oleh itu, beberapa cadangan turut diberikan sekiranya ingin meneruskan senaman ini agar ia lebih selamat dan patuh syariah seperti:

  • Jalankan aktiviti senaman seperti zumba di tempat tertutup, khusus untuk wanita sahaja.
  • Pastikan pakaian yang dipakai longgar, tak nipis serta tidak menampakkan bentuk badan.
  • Tak rakam atau kongsi video mahupun gambar ke media sosial.
  • Melibatkan jurulatih wanita yang menjaga adab dan memahami batas syarak.
  • Perlu jelas dengan aktiviti senaman ringan yang dibenarkan, itu pun dengan pergerakan yang minimum dan tetap dalam rangka perlu berhati-hati.
  • Menari atau bersenam di hadapan suami sahaja, bahkan ia pahala.

Jelasnya perkara ini bukan untuk menyekat kebebasan tetapi membina keselamatan, kehormatan serta ketenangan jiwa.

“Rasulullah SAW juga telah beri peringatan keras terhadap wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan menggoda, melenggang-lenggok dan mengajarkan maksiat kepada wanita lain, mereka tidak akan dapat masuk ke syurga bahkan tidak dapat juga mencium bau syurga.”

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada dua kelompok manusia penghuni neraka yang belum pernah aku lihat sebelum ini, iaitu suatu kaum yang membawa penyebat (pemukul) seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan maksiat tersebut kepada orang lain, kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium keharuman syurga, padahal keharuman syurga itu boleh dihidu dari jarak sekian dan sekian.” (HR Muslim, hadis sahih)

Ustazah Asma dalam masa sama turut mengingatkan agar para wanita tidak lupa kepada maruah dan pandangan Maha Pencipta. Apabila menjaga kehormatan diri kerana Allah SWT ia adalah kebebasan yang sebenar-benarnya dan kemuliaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.