Bukan Sekadar Fesyen, Ini Sebab Cermin Mata Hitam Penting Ketika Cuaca Panas [Video]
Segelintir masyarakat hanya memakai cermin mata hitam sebagai aksesori dan bukannya untuk melindungi mata daripada sinaran UV.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemakaian cermin mata hitam dilihat menjadi satu kebiasaan di kalangan masyarakat kini. Bukan sahaja anak muda, malah golongan kanak-kanak dan warga emas juga ada yang memakainya terutama sekali ketika sedang berjalan di luar.
Namun begitu, cermin mata hitam ini semakin lama dianggap sebagai aksesori sahaja dan trend bagi melengkapi OOTD seseorang. Sebagai contoh, ada yang hanya membeli cermin mata itu lalu menyangkutnya pada butang kemeja.
Selain itu, ada yang hanya posing (bergaya) dengan cermin mata hitam tersebut untuk selfie dan memuat naiknya di platform media sosial.

Sumber: Freepik
Kebaikan Pakai Cermin Mata Hitam Ketika Musim Panas
Kalau anda nak tahu, cermin mata hitam ini adalah sangat penting untuk dipakai sewaktu cuaca panas. Memetik portal klinik oftalmologi dan optometri, Paragon Eye Associates cermin mata ini direka khas untuk digunakan semasa berada di bawah panas terik matahari.
Antara kebaikan cermin mata hitam yang disenaraikan adalah seperti:
#1. Lindungi Mata Dari Sinaran UV
Salah satu kebaikan pemakaian cermin mata hitam adalah ia dapat melindungi mata anda daripada impak sinaran ultraviolet (UV). Pendedahan yang terlalu lama pada sinaran UV boleh menyebabkan pelbagai masalah mata seperti katarak, kemerosotan makula dan juga kanser.
Cermin mata yang dilengkapi perlindungan UV itu mampu menghalang sinaran tersebut daripada menjejaskan mata selain mengurangkan risiko masalah kesihatan seperti yang dinyatakan.

#2. Kurangkan Masalah Silau
Ia juga berfungsi bagi mengurangkan silau lebih-lebih lagi jika anda sedang memandu atau melakukan aktiviti di luar bangunan. Silau itu boleh memudaratkan penglihatan sehingga menyebabkan keletihan mata serta menjejaskan fokus.
Bukan itu sahaja, silau yang memancar pada mata secara tiba-tiba adalah berbahaya ketika memandu kerana ia boleh menyebabkan anda hilang kawalan lalu mengundang kepada kemalangan.

Cermin mata hitam dengan polarized (terkutub) lenses amat berguna untuk mengurangkan silau serta meningkatkan kejelasan penglihatan anda.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Duduk Dalam Rumah Pun Kena Pakai Sunscreen Ke? Ini Kata Pakar
#3. Elak Mata Jadi Kering
Seperti yang kita tahu, cuaca panas boleh menyebabkan mata kering hingga menyebabkan rasa tidak selesa dan kegatalan.
Jika dibiarkan berlarutan, kekeringan yang melampau boleh mengakibatkan rasa pedih dan jangkitan mata. Dalam masa sama, cermin mata hitam dapat membantu melindungi mata anda daripada kesan pengeringan akibat angin dan cahaya matahari, sekaligus mengekalkan kelembapan serta kesihatan mata.

#4. Kurangkan Kesan Kedutan
Tanpa anda sedari, memakai cermin mata hitam juga mampu mengurangkan pembentukan kedutan. Memetik Apollo Hospital, gejala mata kering adalah antara punca utama mengapa kesan kedutan muncul pada bahagian mata.
Selain itu, setiap individu kebiasaannya akan mengenyitkan mata mereka setiap kali berada di kawasan cuaca panas. Perbuatan tersebut boleh menghasilkan garis halus sekitar mata.

Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Panas Melampau? Ini 3 Destinasi ‘Cool Down’ Paling Dicari Rakyat Malaysia – Agoda
Dengan memakai cermin mata hitam, anda dapat mengurangkan keperluan untuk mengenyitkan mata, dan membantu mencegah kedutan serta mengekalkan kulit wajah yang sihat.
Cuaca Panas Mampu Mengundang Hormon Stres
Sebelum ini, Pakar Kesihatan Mental, Amirul Ramli (@amirul.ramli) yang juga Pengasas Mental Kuat Centre juga berkata perkara yang sama.
Jelas beliau, dia masih tidak faham mengapa orang ramai tidak memakai cermin mata hitam ketika waktu tengah hari. Menurut Amirul, cuaca panas boleh mendatangkan stres haba lalu meningkatkan kortisol (hormon stres).
Ia kemudiannya akan membawa gangguan kepada pemikiran dan pencahayaan yang melampau akan menyebabkan keresahan.
“Mudah untuk anda rasa marah dan sakit hati. Selain pakai spek hitam, pakai topi pun membantu,” ujar beliau di akhir perkongsian.
@amirul.ramli Anda keluar rumah waktu tengah hari, matahari terpacak atas kepala, rasa panas membahang sampai kepala pun rasa macam berasap? Mungkin anda rasa itu perkara biasa saja, tapi kajian sains membuktikan yang haba melampau sebenarnya beri kesan terus kepada kesihatan mental dan fungsi otak kita. Menurut satu kajian yang diterbitkan, suhu persekitaran yang tinggi, seperti yang kita alami di Malaysia terutama waktu tengah hari, boleh menyebabkan gangguan pada fungsi kognitif. Maksudnya, bila badan kita terlalu panas, keupayaan kita untuk fokus, buat keputusan, dan berfikir secara rasional jadi semakin merosot. Ini bukan soal selesa atau tidak. Ini soal otak yang terganggu disebabkan oleh haba. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa haba ekstrem boleh meningkatkan kadar hormon kortisol dalam badan. Kortisol ini ialah hormon stres. Bila ia naik terlalu tinggi, kita mula rasa mudah cemas, cepat marah, dan hilang sabar. Sebab itulah bila anda panas terik, silau matahari, dan badan berpeluh-peluh, anda juga lebih senang rasa irritate. Perkara kecil pun boleh jadi besar. Nada suara orang sikit naik, anda dah rasa macam nak marah. Anak bising sikit, anda dah rasa rimas. Semua ini sebenarnya ada kaitan dengan tindak balas otak dan hormon terhadap haba. Selain itu, pencahayaan melampau daripada matahari tengah hari juga memberi kesan kepada mata dan otak. Terlalu banyak cahaya terang masuk ke dalam mata boleh aktifkan bahagian otak yang berkait dengan “ancaman” dan bahaya, khususnya dalam kawasan thalamus dan sistem limbik. Ini menyebabkan anda rasa tidak selesa, gelisah, dan cepat penat walaupun tak buat kerja fizikal berat pun. Tambah pula kalau anda jenis yang sensitif pada cahaya atau mudah migrain, sinaran matahari yang kuat boleh buat keadaan jadi makin teruk. Jadi, apa boleh kita buat? Jawapan paling mudah dan berkesan ialah elakkan terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari waktu tengah hari. Kalau perlu juga keluar di waktu tengah hari, pakai pelindung. Cermin mata hitam yang ada perlindungan UV sangat membantu. Ia bukan sekadar gaya, tapi fungsi sebenar ialah melindungi mata dan otak anda daripada overstimulasi cahaya. Bila silau berkurang, otak pun kurang tertekan. Topi pun penting. Bukan sekadar aksesori, tapi perlindungan kepada kepala daripada haba terus. Bayangkan kepala anda macam processor komputer. Bila ia terlalu panas, ia mula perlahan, hang, atau shutdown. Sama macam otak manusia. Banyak orang tak sedar yang mereka sebenarnya mengalami ‘heat stress’ secara senyap. Mereka fikir mereka penat sebab kerja atau kurang tidur. Tapi hakikatnya, cuaca panas melampau itu sendiri sudah cukup untuk menyebabkan keletihan, kesukaran fokus, dan emosi yang tak stabil. Kalau anda perasan anda cepat naik angin, mudah kecewa atau tak boleh nak fikir dengan jelas bila berada di bawah cuaca panas, itu bukan salah anda semata mata. Itu adalah kesan fisiologi sebenar yang berlaku dalam badan dan otak anda. Kajian juga mencadangkan supaya kita cari ruang rehat yang sejuk, sebaiknya berhawa dingin atau sekurang kurangnya berbumbung dan redup, selepas berada di luar. Jangan terus sambung kerja tanpa beri masa untuk otak dan badan sejuk dan tenang. Ini penting untuk elakkan tekanan kronik yang boleh bawa kesan jangka panjang seperti kemurungan atau gangguan tidur. Jangan pandang remeh pada kesan cuaca panas terhadap kesihatan mental dan fungsi otak anda. Panas bukan sekadar tak selesa. Ia boleh ubah hormon, rosakkan fokus, ganggu emosi, dan perlahan prestasi harian anda. Jadi, lindung diri anda. Pakai cermin mata hitam. Pakai topi. Minum air secukupnya. Dan jangan lupa, bila otak anda tenang, hidup pun lebih terkawal. #mentalhealth ♬ original sound – AmirulRamli | MentalHealth
Tonton video penuh [DI SINI].
Baca Artikel Berkaitan: Cermin Mata Anti-Blue Light Hanyalah Mitos? Ini Penjelasan Ahli Optometri