fbpx
Now Reading
Bukan Semua Kes Mahkamah Boleh Diikat Jamin, Ini Penjelasannya

Bukan Semua Kes Mahkamah Boleh Diikat Jamin, Ini Penjelasannya

Kesalahan boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu yang boleh diikat jamin, tidak boleh diikat jamin dan tidak boleh diikat jamin langsung.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Di bawah undang-undang negara, sesetengah kes mahkamah yang masih dibicarakan boleh diikat jamin atau mendapat ‘court bail’. Ini bermakna seorang Orang Kena Tuduh (OKT) boleh mendapatkan pelepasan sementara daripada ditahan reman. 

Pun begitu, masih terdapat kes mahkamah tertentu yang mana OKT tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Seperti dalam kes membabitkan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, dia yang ditahan pada 6 September 2024 tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Dia bagaimanapun telah dilepaskan dan dibebaskan pada 12 Jun 2025 setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Perkara ini menimbulkan pertanyaan tentang mengapakah dia tidak dibenar ikat jamin, seperti yang tular di media sosial.

Demi memahami isu berkenaan ikat jamin ini, penting untuk mengetahui dakwaan yang menyebabkan lelaki berusia 32 tahun itu ditahan.

Menurut laporan media, Yusoff telah ditahan pada September tahun lalu susulan penemuan dua pucuk pistol dan 305 gram dadah disyaki ganja di dalam kenderaan dinaikinya.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Jumpa Pistol & Dadah, Bekas Pembantu Penyelidik Anwar Ibrahim Ditahan

Baca Artikel Berkaitan: Yusoff Rawther Dibebaskan Serta-merta Daripada Kes Dadah & Miliki 2 Pistol Palsu

Terdapat 3 Jenis Kesalahan Iaitu Bailable, Non-bailable & Unbailable

Sebelum menyelusuri lebih lanjut mengenai sebab Yusoff tidak dibenarkan diikat jamin, penting untuk memahami tentang ikat jamin itu sendiri terlebih dahulu. Menurut artikel oleh Chooi Chin & Co, kesalahan boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:

  • Kesalahan yang boleh diikat jamin (bailable)
  • Kesalahan yang tidak boleh diikat jamin (non-bailable)
  • Kesalahan yang tidak boleh diikat jamin langsung (unbailable)

Bagi kesalahan-kesalahan yang boleh diikat jamin, perkara ini boleh dirujuk kepada Seksyen 2 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang memperuntukkan “kesalahan yang boleh dijamin” sebagai suatu kesalahan yang boleh dijamin di dalam Jadual Pertama CPC atau yang boleh dijamin oleh mana-mana undang-undang lain yang sedang berkuatkuasa. 

Antara contoh kesalahan yang boleh diikat jamin ialah melanggar perintah kuarantin kesihatan, menyebabkan cedera dengan sengaja, menipu dan salah guna harta.

Bagi kesalahan ini, jumlah ikat jamin dan jumlah penjamin akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Dalam keadaan tiada penjamin, OKT akan ditahan di penjara sehingga perbicaraan kes selesai. Bon jaminan dikenakan ke atas OKT bagi menjamin kehadirannya ke Mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Kesalahan Tidak Boleh Diikat Jamin Biasanya Membawa Hukuman Mati Atau Penjara Seumur Hidup

Sebaliknya, kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin kebiasaannya adalah kesalahan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Pun begitu, pihak pembelaan masih boleh memohon agar ikat jamin diberikan kepada OKT dan dibenarkan dengan budi bicara Mahkamah.

Menurut Chooi Chin & Co, Seksyen 388(1) CPC menggariskan kuasa Mahkamah untuk memberi jaminan ke atas OKT yang dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin. 

Namun begitu ia hanya boleh dilakukan dengan alasan munasabah, sebagai contohnya bagi seorang OKT di bawah umur 16 tahun, wanita atau orang sakit atau tidak berupaya, dan dilepaskan atas jaminan oleh Pegawai Penjaga Daerah Polis atau oleh Mahkamah.

“Ini bermaksud sesiapa yang dituduh dengan kesalahan tidak boleh dijamin adalah tidak berhak kepada jaminan sebagai suatu hak,” katanya.

Sumber gambar: Pexels

Tak Boleh Ikat Jamin Jika OKT Dipercayai Bersalah

Walau bagaimanapun, ikat jamin tidak dibenarkan sekiranya terdapat alasan munasabah yang mempercayai bahawa OKT bersalah atas kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Chooi Chin & Co berkata keadaan ini juga terpakai sekiranya pihak Pendakwa Raya berjaya menunjukkan wujudnya kebarangkalian OKT melakukan kesalahan sama atau kesalahan lain di dalam tempoh ikat jamin sekiranya ia dibenarkan. 

“Di dalam hal ini, masyarakat umum perlu dilindungi dari sebarang kebarangkalian berlakunya perkara tersebut.

“Dengan kata lain, kepentingan umum perlulah didahulukan. Maka ikat jaminan adalah tidak dibenarkan oleh Mahkamah dalam situasi tersebut,” jelasnya.

Kesalahan Pengedaran Dadah Tidak Boleh Diikat Jamin Langsung

Bagi kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin langsung, ia merangkumi kesalahan pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Selain itu, ia juga merangkumi kesalahan-kesalahan lain yang boleh didenda dengan penjara seumur hidup atau hukuman mati, termasuk pembunuhan dan penculikan.

Bagi kesalahan ini, ikat jamin tidak dibenarkan sama sekali dan OKT akan diletakkan dalam tahanan penjara sehingga perbicaraan selesai.

Memandangkan Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah yang dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, perkara ini menjelaskan mengapa dia tidak dibenarkan ikat jamin sama sekali.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: MalayMail)

Jaminan Polis Hak Individu Selagi Kes Belum Didakwa Di Mahkamah

Selain daripada ikat jamin yang diizinkan oleh mahkamah, terdapat juga jaminan polis (police bail) yang dikenali sebagai ‘jamin mulut’. Kebiasaannya jaminan ini diberi kepada individu yang ditahan kerana siasatan tidak boleh diselesaikan dan dia masih belum didakwa di mahkamah. 

Ini adalah bertetapakan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa individu ditahan mempunyai hak untuk dijamin jika tidak dibawa ke hadapan Majistret dalam masa 24 jam. Perkara ini juga dinyatakan di bawah Seksyen 28 CPC.

Pun begitu, Seksyen 29 CPC menggariskan bahawa individu tersebut hanya boleh dibebaskan di bawah bon sendiri, dengan jaminan atau dengan arahan bertulis oleh Majistret atau pegawai polis dengan pangkat Inspektor dan ke atas.

Menurut firma guaman Ahmad Danial Iswatt & Luqman, jaminan polis biasanya dilakukan menerusi bon diri sendiri tanpa penjamin.

Sebaliknya, individu yang ditahan oleh pihak polis tanpa waran boleh dibebaskan dengan jaminan oleh Pegawai Penjaga Stesen (OCS) atau mana-mana pegawai polis dengan pangkat Korporal dan ke atas seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 387 CPC.

Malah, individu yang ditahan itu juga boleh dilepaskan dengan mengenakan bon tanpa penjamin supaya hadir seperti yang disyaratkan.

Dengan kata lain, OCS atau pegawai polis berpangkat Korporal ke atas boleh melepaskan individu ditahan dengan jaminan, atau mengenakan bon tanpa jaminan sementara menunggu siasatan.

Sumber gambar: Unsplash

Individu Ditahan Tanpa Waran Bagi Kesalahan Tidak Boleh Jamin Juga Boleh Dijamin Polis

Pun begitu, firma guaman tersebut menegaskan bahawa Seksyen 387 hanya terpakai bagi individu yang didakwa atas kesalahan boleh dijamin yang bermakna jaminan perlu ditawarkan mengikut hak mereka.

Dalam masa sama, individu yang didakwa melakukan kesalahan tidak boleh dijamin dan ditahan tanpa waran boleh dilepaskan dengan jaminan oleh Ketua Polis Daerah (OCPD) seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 388 CPC.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.