[Review] Felai FX: Kisah Gelap Forex & Pengkhianatan Keluarga, Lebih ‘Deep’ Dari Yang Disangka
Filem Felai FX bukan sekadar cerita scam forex, tapi sarat dengan konflik keluarga, pengkhianatan dan realiti pahit dunia ‘cepat kaya’ yang banyak pengajarannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bermula 30 April ini, sebuah filem aksi drama tempatan, Felai FX: Trader Gelap: Apa Mau Takut, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia.
Filem arahan Zamri Zakaria ini mengetengahkan kisah dunia forex gelap yang penuh dengan penipuan dan manipulasi merupakan satu tema yang cukup dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Baru-baru ini (17 April), kami berpeluang menghadiri malam gala filem ini yang berlangsung di TGV Suria KLCC dengan kehadiran barisan pelakon dan tenaga produksi.
Apa yang boleh kami katakan, Felai FX bukan sekadar filem tentang duit dan pelaburan, tetapi lebih kepada sisi gelap di sebalik dunia tersebut.
Sinopsis Felai Fx
Filem ini mengisahkan Qistina, lakonan Isyariana Che Azmi, seorang influencer forex yang dikenali dengan imej mewah dan berjaya.

Namun di sebalik populariti itu, dia sebenarnya hanyalah “topeng” kepada sindiket pelaburan haram yang dikawal oleh individu lain.
Dalam masa sama, kehidupannya turut dihimpit masalah keluarga apabila bapanya sendiri merupakan seorang kaki judi dan penipu tegar.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila skandal melibatkan dirinya mula terbongkar dan dia terpaksa berdepan dengan realiti yang selama ini cuba dielakkan.

Sebagai info, filem ini merupakan filem terakhir lakonan legenda Allahyarham Dharma Harun yang memegang watak sampingan sebagai salah seorang antagonist.
Felai FX turut dibintangi oleh Isyariana Che Azmi, Azrel Ismail, Noorkhiriah, Zaryn Min dan ramai lagi.
Ini review kami tentang filem Felai FX
Secara ringkasnya, Felai FX berjaya membawa satu cerita yang agak berani dan jarang diangkat dalam filem tempatan.
Kekuatan utama filem ini terletak pada jalan cerita yang sarat dengan konflik yang bukan sahaja tentang scam, tetapi juga hubungan kekeluargaan yang penuh dengan pengkhianatan.
Kami boleh katakan, emosi dalam filem ini agak ‘heavy’ dan ada beberapa babak yang benar-benar memberi tekanan kepada penonton.
Dalam masa sama, elemen realistik yang dibawakan membuatkan cerita ini terasa dekat terutama apabila melibatkan isu influencer, pelaburan cepat kaya dan manipulasi di media sosial.
Dari segi visual pula, filem ini tampil dengan gaya yang lebih ‘dark’ dan sinematik, selari dengan tema dunia sebenar yang cuba ditonjolkan.

Namun, ada beberapa bahagian yang mungkin terasa sedikit perlahan, terutamanya di pertengahan cerita. Tapi ia masih boleh diterima kerana membantu membina emosi dan latar watak.
Selain itu, pengolahan skrip dan penyusunan plot juga diharap boleh diperbaiki pada masa akan datang.
Namun, kualiti visual dan audio serta babak aksi agak memuaskan.
Apa yang pasti, filem ini bukan jenis tontonan santai, ia lebih kepada cerita yang buat kita berfikir tentang pilihan hidup dan akibat yang datang bersama.
Secara keseluruhan, Felai FX adalah sebuah filem yang berbeza daripada biasa kerana mempunyai elemen berani, gelap dan penuh mesej.
Kalau anda minat cerita yang ada elemen jenayah, konflik keluarga dan sedikit sentuhan moral, filem ini memang sesuai untuk dimasukkan dalam senarai tontonan.



