fbpx
Now Reading
[Review] Anaconda (2025) Filem Pengembaraan Di Tengah Hutan Amazon Yang Sarat Aksi Komedi

[Review] Anaconda (2025) Filem Pengembaraan Di Tengah Hutan Amazon Yang Sarat Aksi Komedi

Filem Anaconda (2025) tampil dengan pendekatan yang jauh lebih berani dan tidak ‘cliché’ apabila menggabungkan komedi, aksi dan pengembaraan dalam satu filem yang menghiburkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dengarnya filem Anaconda, pasti ramai membayangkan pengembaraan seram atau survival penuh adegan ngeri seperti versi terdahulu. 

Namun, Anaconda (2025) tampil dengan pendekatan yang jauh lebih berani dan tidak ‘cliché’ apabila menggabungkan komedi, aksi dan pengembaraan dalam satu filem yang ringan tetapi menghiburkan.

Diarahkan oleh Tom Gormican, filem ini bukan sebuah reboot, sebaliknya sebuah karya original yang menggunakan judul ikonik tersebut sebagai latar kepada cerita baharu yang lebih menarik.

Sinopsis

Anaconda (2025) memfokuskan kepada Doug lakonan (Jack Black) dan Griff (Paul Rudd), dua sahabat sejak kecil yang berkongsi minat mendalam terhadap dunia perfileman. Selepas bertahun-tahun hidup dalam rutin masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk menghidupkan kembali impian lama dengan menghasilkan sebuah filem di tengah hutan Amazon.

Apa yang bermula sebagai perjalanan penuh keterujaan, perlahan-lahan bertukar menjadi pengalaman yang mendebarkan apabila keadaan mula berada di luar kawalan.

Menariknya, jalan cerita filem ini mudah difahami dan tidak berselirat, menjadikannya sesuai untuk tontonan santai tanpa memerlukan pengetahuan tentang filem Anaconda versi lama.

Lakonan yang tidak kekok menjadi kunci utama

Kekuatan utama Anaconda (2025) terletak pada lakonan Jack Black dan Paul Rudd yang menjadi nadi kepada keseluruhan cerita. Kedua-duanya berjaya mencipta keseimbangan antara elemen komedi dan emosi, sekaligus membuatkan penonton mudah terhubung dengan perjalanan watak mereka.

Watak-watak sokongan seperti Claire (Thandiwe Newton), Kenny (Steve Zahn), Santiago (Selton Mello) dan Ana (Daniela Melchior) pula berfungsi dengan baik untuk menggerakkan naratif, selain menambah variasi dari segi humor dan konflik. Setiap karakter diberikan ruang tersendiri tanpa terasa berlebihan.

Gabungan komedi dan aksi yang seimbang

Walaupun berlatarkan hutan Amazon yang penuh bahaya, filem ini tidak menjadikan elemen seram sebagai fokus utama. Sebaliknya, Anaconda (2025) memilih untuk menampilkan situasi tegang yang disulami komedi spontan, menjadikan pengalaman menonton lebih santai dan menyeronokkan.

Babak aksi disusun secara berperingkat dan tidak terlalu ekstrem, namun cukup untuk mengekalkan rasa cemas serta ketegangan dalam kalangan penonton. Pendekatan ini sesuai dengan nada keseluruhan filem yang tidak terlalu serius, tetapi masih mengekalkan adrenaline rush para penonton. 

Visual dan suasana yang meyakinkan

Dari sudut visual, persekitaran hutan yang dipaparkan berjaya memberi rasa cemas dan tidak selamat, selari dengan konflik yang dihadapi oleh watak-watak utama. Sinematografi yang digunakan membantu membina suasana misteri dan bahaya, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kesan khas berlebihan. Kualiti VFX pula sangat ‘superb’!

Rekaan produksi dan latar lokasi juga memberi sentuhan realistik, menjadikan dunia Anaconda (2025) terasa hidup dan nampak real.

Kesimpulan

Secara ringkas, Anaconda (2025) merupakan sebuah filem hiburan yang tidak terlalu berat, sesuai untuk penonton yang ingin menikmati gabungan komedi, aksi dan pengembaraan dalam satu naskah.

Walaupun menggunakan judul yang sudah dikenali, filem ini berjaya berdiri sendiri dengan identiti tersendiri dan pendekatan yang lebih santai. Ia mungkin bukan untuk penonton yang mengharapkan elemen seram sepenuhnya, namun cukup berbaloi untuk mereka yang mencari hiburan ringan di layar perak.

Trailer

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.