[Review] Filem Banduan Penuh Dengan Aksi Mendebarkan, Kualiti Setaraf Antarabangsa
Filem Banduan ini bukan hanya memaparkan babak-babak aksi semata-mata, malah penonton juga tak akan kering gusi dengan komedi yang diselitkan bersama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bermula 6 November ini, Banduan, filem aksi-drama yang diadaptasi daripada filem pecah panggung India terkenal ‘Kaithi’ yang bakal menemui penonton di seluruh negara.
Filem ini merupakan sebuah filem arahan Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan Kerjasama Dream Warrior Pictures, serta melibatkan kerjasama daripada Astro Shaw yang bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.
Bukan hanya di Malaysia, filem aksi ini turut ditayangkan di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura pada 6 November ini.

Malam Gala Banduan hadir dengan barisan pelakon hebat
Semalam (4 November), BuzzKini berpeluang menghadiri Malam Gala Banduan yang berlangsung di TGV Suria KLCC ini.
Dalam acara tersebut, dapat dilihat barisan pelakon filem Banduan ini seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel dan banyak lagi.
Lebih menarik lagi, Karthi Sivakumar iaitu bintang utama versi asal filem Kaithi turut hadir memeriahkan tayangan perdana adaptasi Malaysia ini.

Sinopsis filem Banduan
Filem ini mengisahkan tentang seorang banduan yang baru dibebaskan, Dali lakonan Datuk Aaron Aziz yang berhasrat untuk bertemu semula anak perempuannya untuk pertama kali.
Namun, hajatnya itu tertangguh apabila tanpa sengaja terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari, yang dimainkan oleh Datuk Rosyam Nor, untuk menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun serta melawan sindiket dadah.


Ini review kami tentang filem Banduan
Secara ringkasnya, ‘remake’ filem Kaithi versi Malaysia ini lebih dekat di hati para penonton kerana mengetengahkan budaya tempatan termasuk makanan seperti juadah ikonik, Nasi Dagang.
Selain itu, lokasi set penggambaran juga menampilkan budaya dan elemen tempatan masyarakat di kawasan kampung.

Kekuatan filem Banduan terletak pada plot penceritaannya yang laju (fast pace) dan penuh aksi mendebarkan dengan babak kejar-mengejar, pertarungan dan tembak-menembak namun turut diselitkan babak komedi yang dibawa oleh Datuk Afdlin Shauki.
Kami bukan hanya terpukau dengan babak aksinya, tapi tak kering gusi juga dengan komedi-komedi yang diselitkan.

Setiap babak yang ditonjolkan menyuntik adrenalin sekaligus membuatkan para penonton tidak senang duduk. Senang kata, nak ke tandas pun terasa rugi.
Secara keseluruhannya, kami memberikan skor 8.5/10.
Kalau korang nak tahu lebih lanjut, bawa ahli keluarga atau rakan-rakan tonton filem Banduan ini dipanggung wayang seluruh Malaysia bermula esok (6 November).



