Penyanyi Rap Malaysia Ditahan Di Laos, Didakwa Seludup Ganja Seberat 86 Kg
Penyanyi rap berkenaan telah ditahan sejak 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay selepas pihak berkuasa menjumpai 103 bungkusan ganja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ganja merupakan salah satu barangan yang diharamkan di kebanyakan negara di seluruh dunia.
Oleh itu, mana-mana individu yang memiliki atau mengambil barangan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut ketetapan negara berkenaan.
Penyanyi rap Malaysia ditahan didakwa seludup ganja ke Jerman
Terbaharu, seorang penyanyi rap Malaysia bersama dua orang lagi rakannya telah ditahan oleh pihak berkuasa Laos selepas didakwa cuba menyeludup sebanyak 103 bungkusan ganja.
Turut difahamkan penyanyi yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan rap tempatan itu telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay sejak 27 Mei yang lalu selepas disyaki menyeludup barang terlarang itu ke Jerman, lapor Utusan Malaysia.
Menerusi laporan media di Laos, menerusi satu operasi yang membabitkan pegawai kastam, penguatkuasa lapangan terbang serta agensi berkaitan ketiga-tiga individu berkenaan telah ditahan ketika pemeriksaan rutin dilakukan.
Sebanyak 103 bungkusan ganja dijumpai dalam bagasi seberat 86 kilogram
Difahamkan bungkusan-bungkusan ganja tersebut dijumpai disembunyikan dalam enam beg bagasi milik ketiga-tiga individu itu hasil pemeriksaan pihak berkuasa Laos.
Jumlah berat bagi bungkusan tersebut dianggarkan sekitar 86 kilogram.
Memetik laporan The Laotian Times, suspek ketika kejadian sedang membuat persediaan untuk menaiki penerbangan Thai Airways ke Jerman, di mana tempat barangan itu sepatutnya dihantar.
Pendakwaan mengikut undang-undang di Loas
Pihak berkuasa negara berkenaan turut mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu itu kini dalam tahanan dan akan berdepan pendakwaan selaras dengan prosedur undang-undang Laos. Siasatan juga masih dijalankan.
Difahamkan operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa mengesan beberapa kes penyeludupan dadah yang berlaku di lapangan itu sejak kebelakangan ini.



