‘Aiman Tak Kesah’ Ke Mahkamah Lepas 7 Hari Lafaz Cerai, Buat Ujian Air Kencing Untuk Bersihkan Nama
Aiman turut memaklumkan telah membuat ujian saringan air kencing untuk membuktikan dia bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video siaran langsung memaparkan suami kepada usahawan, Siti Jamumall iaitu Aiman Tak Kesah telah melafazkan cerai sewaktu wanita berkenaan sedang bersiar secara langsung di TikTok.
Menerusi video tersebut awalnya mereka dilihat bertengkar sebelum Aiman bertindak melafazkan cerai beberapa kali kepada Siti.
Perkara itu kemudiannya telah mendapat perhatian luas termasuklah para agamawan, peguam dan orang ramai yang mengulas mengenai tindakan pasangan tersebut.
Jelas perlu ambil masa dan mengelak daripada membuat keadaan menjadi lebih tegang
Terbaharu selepas tujuh hari insiden lafaz cerai di dalam live itu berlaku, Aiman atau nama penuhnya Khairul Aiman Abdul Kudus tampil menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi memfailkan tuntutan pengesahan perceraiannya dan Siti.
Ujar Aiman yang berusia 22 tahun, dia perlu untuk mengambil masa bertenang serta mengelak dari mengeruhkan keadaan.
“Saya ambil sedikit masa untuk mencari peguam dan juga mendapatkan sokongan dana bagi melantik peguam.
“Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin memburukkan lagi hubungan antara saya dan Siti,” jelasnya, lapor Kosmo.
4 kali lafaz cerai kepada Siti Jamumall
Influencer berkenaan dipercayai telah melafazkan talak sebanyak empat kali terhadap isterinya.
Jelas Peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idros yang mewakili Aiman lafaz cerai berkenaan berlaku secara berulang.
Oleh itu, pihaknya (Aiman dan peguam) menyerahkannya kepada mahkamah bagi memutuskan lafaz cerai terbabit jatuh mahupun sebaliknya.
“Ini adalah hari ketujuh daripada tarikh lafaz itu dan undang-undang menetapkan bahawa si suami perlu mendaftarkan kes pengesahan cerai dalam tempoh seminggu.
“Mahkamah telah menerima pendaftaran itu dan menetapkan 21 Julai bagi sebutan pertama kes ini,” ujarnya kepada Kosmo.
Buat ujian air kencing untuk buktikan bebas daripada pengaruh dadah
Memetik laporan Berita Harian, influencer berkenaan turut membuat ujian saring air kencing bagi membuktikan bahawa dia bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Ujian tersebut telah dilakukannya pada 16 Mei lepas dan ia bertujuan untuk membersihkan namanya selepas terdapat dakwaan mengatakan dia terlibat dengan gejala tidak sihat itu sewaktu melafazkan talak kepada Siti pada 15 Mei yang lalu.
“Disebabkan kenyataan Siti dalam siaran langsung (live) tempoh hari, saya sedar akan timbul pelbagai persepsi terhadap saya. Saya juga memang seorang yang mudah tertekan semasa ‘live’.
“Jadi, saya faham jika ada pihak yang melihat saya dalam sudut negatif. Namun, saya bertindak mempertahankan diri. Saya sendiri ke klinik untuk menjalani ujian air kencing mengikut kemampuan saya.
“Keputusan daripada lima jenis ujian dadah yang dijalankan menunjukkan keputusan negatif dan saya bebas daripada sebarang bahan terlarang,” ujar Aiman.
Dalam pada itu, Aiman juga tidak menolak ada tekanan sewaktu insiden lafaz talak itu berlaku.
“Apa yang menambah tekanan pada malam kejadian, sebab saya berharap agar ada seseorang dalam rumah itu mengambil tindakan untuk menamatkan siaran langsung itu.
“Ketika itu, abang sulung Siti, Tuan Nizam berada di situ bersama pembantunya. Saya berharap dia dapat menyampaikan kepada Siti untuk menamatkan siaran, tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Saya pula semakin tertekan apabila melihat jumlah tontonan yang semakin meningkat dan ramai orang ada di rumah ketika itu. Maka itulah yang menyebabkan situasi menjadi seperti yang berlaku.”
Tak ada sebarang pengaruh ubat atau dadah ketika lafaz talak
Malah peguam mewakili Aiman turut menegaskan tiada sebarang pengaruh ubat atau ketidakwarasan ketika insiden berlaku.
“Berdasarkan semakan awal, kes ini dilihat sebagai kes biasa dan tidak membabitkan unsur ketidakwarasan, pengaruh ubat-ubatan atau dadah semasa lafaz dilakukan.
“Aiman berada dalam keadaan waras ketika melafazkan cerai itu, walaupun berlaku ketegangan antara suami isteri, yang boleh dianggap sebagai perkara biasa dalam rumah tangga.
“Tambahan pula, lafaz itu dibuat secara langsung (live) di media sosial, yang turut menambah tekanan kepada situasi ketika itu,” jelas Mohd. Noor lagi.
Dalam satu video yang dikongsikan oleh Aiman, kelihatan dia juga ada menemani Siti Jamumall ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan menyedari walau apa jua perkara berlaku dia perlu menjalankan tanggungjawabnya.
“Maaf guys. Aku tak reti record. Tapi aku ada dekat klinik. Tanggungjawab adalah tanggungjawab,” tulisnya di ruang kapsyen.
@aimantakkesahhh2 Sorry guys . Aku tak reti record .. Tapi aku ada kat Klinik . Tanggungjawab is Tanggungjawab .
♬ [Chill out] Relaxing / Cafe / LoFi(976581) – Chill Soul Labo



