Suku Abad Kongsi Ilmu Pengetahuan Secara Online, Wikipedia Sambut Ulang Tahun Ke-25
Secara global, Wikipedia merupakan antara 10 laman web yang paling banyak dikunjungi dan satu-satunya laman web yang dikendalikan oleh organisasi bukan bersifat keuntungan, iaitu Yayasan Wikimedia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Wikipedia, sumber maklumat dalam talian yang terbesar di dunia, menyambut ulang tahunnya yang ke-25 semalam (15 Jun).
Ia meraikan penjanaan maklumat sahih dan boleh dipercayai serta dikuasakan manusia yang boleh diakses oleh masyarakat di seluruh dunia termasuk jutaan pembaca di Malaysia selama suku abad ini.
Secara global, Wikipedia merupakan antara 10 laman web yang paling banyak dikunjungi dan satu-satunya laman web yang dikendalikan oleh organisasi bukan bersifat keuntungan, iaitu Yayasan Wikimedia.
Lebih daripada 65 juta artikel dalam 300 bahasa yang dimilikinya menggambarkan skala dan kredibiliti sebuah platform yang menjadi kebergantungan rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, budaya, hal ehwal semasa dan pelbagai topik lain.
Bagi rakyat Malaysia, Wikipedia sudah menjadi platform rujukan penting yang digunakan setiap hari oleh golongan pelajar, pendidik, wartawan, profesional penjagaan kesihatan dan masyarakat umum. Platform berkenaan menyokong akses untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai dalam Bahasa Melayu dan bahasa tempatan yang lazimnya digunakan di seluruh negara, sekali gus memainkan peranan penting dari segi penemuan, perkongsian dan kesahihan maklumat dalam kalangan masyarakat digital di Malaysia yang semakin meningkat. Wikipedia juga tersedia dalam beberapa bahasa di Malaysia seperti Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazandusun dan Bajau Sama.
Secara ringkasnya, Edisi bahasa Melayu Wikipedia telah menerbit lebih 435,698 artikel dan dengan jumlah kunjungan kira-kira 9 juta pelawat daripada peranti unik setiap bulan.
Ini menggambarkan jumlah pembaca tempatan yang mantap dan berterusan. Di samping itu, Wikipedia yang mempunyai lebih 300 bahasa, merekodkan purata sebanyak 94,531,998 juta tontonan bulanan dari Malaysia antara Januari 2024 sehingga November 2025, sekali gus menunjukkan capaian nasional platform yang meluas.
Ekosistem kandungan ini pula disokong oleh komuniti tempatan yang utuh dan aktif dengan purata seramai 1,276 penyumbang di Malaysia yang membuat suntingan projek Wikimedia setiap bulan. Ini termasuk lebih daripada 400 penyunting yang komited kepada Wikipedia berbahasa Melayu dengan menyumbang hampir 53,000 suntingan setiap bulan bagi memastikan artikel kekal terkini, relevan dan berlandaskan konteks tempatan.
“Wikipedia merupakan keajaiban dunia, tidak seperti yang lain. Ia sudah mengatasi pelbagai cabaran dan perubahan dalam zamannya, satu penghargaan kepada mereka yang berkhidmat di sebalik tabir dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk berkongsi pengetahuan percuma dan boleh dipercayai dengan seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wikimedia, Maryana Iskander.
“Dengan berbilion kunjungan bulanan dan peningkatan bilangan organisasi yang bergantung kepada maklumat percuma dan sahih, platform ini telah menjadi sebahagian penting dalam seni bina keseluruhan dunia internet.”
Sebagai sebahagian daripada kempen Wikipedia 25 yang dilancarkan semalam, Yayasan Wikimedia mengundang rakyat Malaysia untuk meraikan Wikipedia yang telah mencipta akses untuk memperoleh maklumat di peringkat tempatan sejak 25 tahun yang lalu, sekali gus meraikan para sukarelawan yang menjayakan platfom berkenaan, dan mengambil bahagian dalam membentuk masa hadapannya.
Wikipedia dan Malaysia
Sejak pelancarannya pada 2001, Wikipedia telah berkembang bersama landskap digital Malaysia, dengan menjadi sebahagian daripada kaedah penemuan, perkongsian dan rujukan maklumat di seluruh negara. Dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian bahasa dan budaya, Wikipedia Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam meluaskan akses untuk memperoleh pengetahuan dengan menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dalam bahasa yang menjadi kebiasaan bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Pada masa sama, ia melengkapkan kandungan yang tersedia dalam bahasa lain di seluruh platform.
Dalam tempoh beberapa tahun ini, para sukarelawan tempatan Wikimedia di Malaysia meningkatkan usaha mereka dengan mendokumentasi dan memelihara bahasa asli secara dalam talian. Inisiatif seperti projek WikiKata yang memperkasa komuniti minoriti untuk mencatat dan berkongsi bahasa terancam seperti Iban, Kadazandusun dan bahasa lain di Wiktionary, mencerminkan tugasan penting yang diterajui manusia dalam memelihara warisan linguistik dalam era digital. Pada Oktober 2024, inisiatif ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan meraih Anugerah Green Gown Antarabangsa pada 2024 dan mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah RCE atas pendekatan inovatifnya terhadap penglibatan komuniti dan pemeliharaan bahasa. Melalui program kerjasama ini, rakyat Malaysia memberi sumbangan dalam mengekalkan identiti budaya mereka dan memastikan bahasa asli terus wujud di internet.
“Pelancaran Wikipedia Kadazandusun ternyata bukan sekadar pencapaian digital, ia merupakan cara untuk terus menghidupkan cerita, budaya dan bahasa kami dalam ekosistem pengetahuan global,” kata Jilorisa John, penyumbang dan jurulatih bagi projek Wikipedia Kadazandusun. “Dengan mendokumentasikan bahasa kami secara dalam talian, kami tidak hanya memelihara bahasa ini untuk generasi akan datang tetapi juga meraikannya pada platform serupa yang digunakan oleh berjuta orang di seluruh dunia.”
Kandungan Wikipedia dicipta dan diselenggara oleh komuniti global yang terdiri daripada hampir 250,000 penyunting sukarela setiap bulan, termasuk penyumbang yang menyokong kandungan berbahasa Melayu dan berkaitan dengan Malaysia. Para sukarelawan ini menulis, mengkaji dan menyemak artikel mengikut piawaian ketat atas dasar berkecuali dan kebolehpercayaan — proses yang kekal penting terutamanya di Malaysia di tengah-tengah kebimbangan yang kian meningkat terhadap maklumat salah dan penyebaran kandungan yang tidak disahkan dalam talian.
Docuseries Baharu Meraikan Insan di Sebalik Wikipedia
Untuk memperingati kelahirannya yang ke-25 tahun, Yayasan Wikimedia menerbitkan video “docuseries” yang menyediakan kisah di sebalik tabir mengenai kehidupan, motivasi dan pengalaman penyunting sukarela Wikipedia dari seluruh dunia.
Siri ini menampilkan lapan sukarelawan serta mengetengahkan tujuan dan minat mereka yang serba unik dalam usaha memberi sumbangan kepada ensiklopedia dalam talian. Antara sukarelawan berkenaan ialah penyumbang dari California yang meluangkan lebih daripada dua dekad untuk melakukan dokumentasi taufan dan ribut; seorang doktor perubatan yang berkongsi maklumat kritikal COVID-19 semasa pandemik global berkenaan; dan seorang pustakawan warga emas di Tokyo yang menyerlahkan dedikasinya bagi membolehkan maklumat diakses dalam bahasa Jepun.
Meskipun dan terutamanya pada era kecerdasan buatan (AI) ini, kisah mereka menunjukkan bahawa pada asasnya ilmu pengetahuan adalah manusia, dan ilmu pengetahuan yang sahih dicipta, dipilih dan diselenggara berterusan oleh manusia di seluruh dunia.
Memelihara Masa Silam, Meneroka Masa Hadapan
Yayasan ini turut melancarkan kapsul masa digital “25 Tahun Wikipedia” hari ini. Ia membolehkan peminat Wikipedia di Malaysia dan seluruh dunia menyelidiki masa lalu, masa kini dan masa hadapan sumber global yang berharga ini. Orang ramai juga boleh mendengar perkongsian Pengasas Wikipedia Jimmy Wales, kenangan daripada cerita asal Wikipedia termasuklah ketika beliau memasang pelayan pertama laman web ini.
“Pada 2001, Wikipedia bermula sebagai sebuah impian untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan sesiapa sahaja, di mana jua. Tiada siapa, termasuk saya tahu bahawa ia akan berjaya,” kata Jimmy Wales, Pengasas Wikipedia dan Pemegang Amanah Yayasan Wikimedia. “Tanpa diduga, kini Wikipedia telah berkembang menjadi tulang belakang ilmu pengetahuan di internet. Wikipedia mempamerkan 25 tahun erti kemanusiaan pada tahap terbaiknya, juga membuktikan apabila manusia bersatu dengan semangat untuk membina kepercayaan dan kerjasama, mereka mampu menjayakan perkara yang dianggap mustahil.”
Masa Hadapan Wikipedia Pada Era AI
Wikipedia telah menjadi tulang belakang ilmu pengetahuan di internet. Dalam tempoh 25 tahun ini, Wikipedia dan komuniti sukarelawan globalnya sudah mengharungi masalah teknologi utama, cabaran pengawalseliaan dan ketidakpercayaan yang kian meningkat dalam landskap maklumat. Menempuh anjakan berkenaan, platfrom ini telah dan akan terus menyesuaikan diri serta berkembang bagi memastikan bahawa orang ramai di mana jua, termasuk pembaca di Malaysia, secara bebas boleh mengakses dan berkongsi maklumat yang boleh dipercayai.
Hari ini, kandungan Wikipedia menyokong enjin carian, pembantu suara dan alat AI generatif di seluruh dunia, serta ia kekal sebagai salah satu set data berkualiti tinggi yang digunakan dalam Model Bahasa Besar. Dalam era AI, ilmu pengetahuan Wikipedia yang dihasilkan dan dipilih oleh manusia ternyata amat berharga.
“Wikipedia menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan adalah manusia, dan ilmu pengetahuan memerlukan manusia. Terutama pada masa kini pada era AI, kita lebih memerlukan ilmu pengetahuan Wikipedia yang dikuasakan manusia. Dengan bantuan berterusan daripada pembaca, penyunting sukarela, penderma, rakan kongsi dan peminat di seluruh dunia, Wikipedia akan kekal sebagai hab penting dari segi ilmu pengetahuan dan kerjasama yang dikuasakan manusia secara dalam talian untuk 25 tahun akan datang dan seterusnya,” kata Selena Deckelmann, Ketua Pegawai Produk dan Teknologi Yayasan Wikimedia.
Kemajuan Wikipedia dalam tempoh 25 tahun ini menyerlahkan kedudukannya sebagai tulang belakang internet. Berikut adalah antara perkembangan dan evolusinya selama ini:
- Kerjasama baharu bersama syarikat teknologi menyokong kemampanan Wikipedia: Syarikat teknologi yang bergantung kepada kandungan Wikipedia harus menggunakannya secara bertanggungjawab dan membantu untuk mengekalkan Wikipedia demi masa hadapan. Salah satu cara utama untuk melakukannya adalah melalui platform Wikimedia Enterprise. Dibangunkan oleh Yayasan Wikimedia, Wikimedia Enterprise ialah produk komersial untuk pengguna semula dan pengedar kandungan berskala besar daripada projek Wikimedia. Sepanjang tahun lalu, beberapa syarikat — termasuk Ecosia, Microsoft, Mistral AI, Perplexity, Pleias dan ProRata — sudah bergelar rakan kongsi baharu Wikimedia Enterprise, yang menyertai rakan kongsi sedia ada seperti Amazon, Google dan Meta. Syarikat berkenaan boleh mengakses kandungan daripada projek Wikimedia pada jumlah dan kepantasan yang direka khusus mengikut keperluan mereka serta pada masa sama, memberi sokongan kepada misi yang bukan bersifat keuntungan.
- Melaksanakan strategi AI yang mengutamakan manusia: Strategi AI Yayasan baru-baru ini mempunyai hala tuju pelaburan masa hadapan dan pembangunan dalam AI bagi menyokong sumbangan manusia sebagai teras Wikipedia, membolehkan mereka untuk memberi tumpuan dari segi sumbangan ilmu pengetahuan berbanding menguruskan kerumitan teknikal.
- Mengukuhkan infrastruktur teknikal: Sejak 2001, penambahbaikan berterusan sudah dilaksanakan ke atas infrastruktur teknologi Wikipedia untuk menjadikannya salah satu laman web yang paling mudah diakses dan berbilang bahasa di dunia. Penambahbaikan seperti kemas kini antara muka desktop, mod gelap, pusat data baharu untuk menambah baik kelajuan muat naik(load time) dan aplikasi mudah alih bagi iOS dan Android menjadikan Wikipedia lebih mudah diakses di semua peranti dan keadaan ketersambungan.
- Merapatkan jurang pengetahuan: Ilmu pengetahuan di Wikipedia kini berkembang dengan bersifat lebih mewakili dan mencerminkan dunia menerusi usaha komited dalam terjemahan bahasa dan inisiatif yang diterajui komuniti bagi meningkatkan spektrum penyunting sukarela dan kandungan pada laman berkenaan. Tambahan pula, Wikipedia Abstrak bermatlamat untuk menjadikan maklumat yang boleh dipercayai di Wikipedia tersedia dalam semua bahasa; projek berkenaan adalah antara lima finalis bagi pertandingan geran 100&Change Yayasan MacArthur pada tahun lalu.
- Penglibatan pembaca dan penyumbang generasi seterusnya: Menerusi eksperimen baharu, seperti permainan dalam talian dan kandungan pendek untuk media sosial, Wikipedia meneroka kaedah inovatif untuk menjangkau pengguna baharu, bertindak balas terhadap aliran global, dan memenuhi keperluan pengguna yang terus berkembang dalam landskap internet yang sentiasa mengalami perubahan.
Sambutan Wikipedia 25 Global
Terdapat banyak cara untuk menyertai sambutan Wikipedia 25 di seluruh dunia yang diadakan sepanjang tahun. Antara acara sambutan termasuk:
- Masyarakat di seluruh dunia dialu-alukan untuk menggunakan ciri baharu di media sosial bagi “menandatangani” kad ulang tahun kelahiran digital Wikipedia — membantu untuk menjadikannya kad ulang tahun kelahiran yang terpanjang.
- Acara sambutan ulang tahun kelahiran global secara maya pada 15 Januari pada jam 4:00 petang UTC, dengan menampilkan tetamu undangan, permainan, hiburan dan banyak lagi. Acara ini bakal disiarkan secara livestream di saluran YouTube, TikTok dan Instagram Wikipedia. Acara bersemuka yang lain turut diatur di seluruh dunia.
- Baby Globe, maskot digital baharu hasil cetusan ilham daripada lakaran sukarelawan Wikipedia yang tersedia dalam siri kejutan visual pada beberapa versi bahasa Wikipedia apabila pembaca menghidupkan Mod Hari Lahir.
- Koleksi edisi terhad barangan Wikipedia yang baharu dan berciri sambutan bermula dengan mainan plushie Baby Globe disediakan dengan kerjasama Makeship.
Yayasan Wikimedia, iaitu komuniti sukarelawan global Wikipedia, dan rakan gabungan Wikimedia di seluruh dunia akan terus menjalankan aktiviti untuk meraikan 25 tahun Wikipedia sepanjang 2026. Layari laman web ini dan ikuti Wikipedia di media sosial untuk mengetahui maklumat lebih lanjut.
I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters while enjoying music, books, and the outdoors.


