“Bukan Hanya Bantuan Kewangan, GrabScholar Harapan Masa Depan” – Mahasiswa
Menariknya pada tahun ini, dua daripada enam penerima biasiswa GrabScholar bagi tahun ini merupakan ahli keluarga rakan pemandu dan penghantar Grab itu sendiri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila sebut sahaja tentang Grab Malaysia, pasti ramai yang mengenali syarikat perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.
Korang tahu tak sebenarnya Grab lebih daripada itu? Syarikat multinasional dengan kolaborasi bersama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) ada menyediakan biasiswa penuh buat pelajar cemerlang menerusi Program GrabScholar 2025.
Biasiswa yang dibiayai dan disokong oleh GrabForGood Fund itu diwujudkan bagi meningkatkan mobiliti sosioekonomi dengan menyediakan peluang pendidikan kepada rakan pemandu dan peniaga Grab, keluarga terdekat serta masyarakat umum.
Pelajar universiti awam terpilih bakal menerima manfaat istimewa sepanjang tempoh pengajian antaranya seperti:
- Bayaran penuh yuran pengajian
- Elaun sara hidup bulanan
- Akses kepada program pembangunan diri
- Elaun tahunan bagi buku, alat tulis dan tambang penerbangan
- Elaun one-off bagi laptop, pakaian formal dan projek tahun akhir
Bukan itu sahaja, inisiatif GrabScholar turut memberi dermasiswa berasaskan keperluan yang disumbangkan dalam bentuk kewangan sekali-beri (one off) kepada 300 orang pelajar sekolah rendah dan menengah melalui GoBarakah.
Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adeline Foo, inisiatif ini sebagai menghargai kerja keras rakan pemandu dan peniaga terhadap keluarga masing-masing.
“Rakan pemandu dan peniaga kami merupakan tulang belakang kepada ekosistem kami dan biasiswa ini menghargai pengorbanan serta dedikasi luar biasa mereka terhadap keluarga masing-masing.
“Melalui GrabForGood Fund dan GrabScholar, kami berhasrat untuk menghapuskan halangan kewangan agar pelajar-pelajar yang tabah ini serta anak-anak anggota masyarakat lain dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan berani memasang impian besar.
“Kita melihat program GrabScholar ini sebagai batu loncatan, bukan sekadar bantuan kewangan, dan kami amat berbangga dapat memainkan peranan dalam menyokong pemacu masa depan negara,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif YTAR, Kularetnam Viyakumar pula, pihaknya amat berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Grab Malaysia bagi tahun kedua.
“YTAR amat berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Grab Malaysia bagi tahun kedua melalui program yang bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan menyeluruh tetapi juga menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun yang memperkasakan penerima biasiswa GrabScholar supaya dapat membentuk masa depan yang lebih cerah untuk diri, masyarakat dan Malaysia,” jelasnya.

Ahli Keluarga Dari Komuniti Grab Antara Penerima Biasiswa GrabScholar
Menariknya pada tahun ini, dua daripada enam penerima GrabScholar merupakan ahli keluarga dari komuniti Grab itu sendiri.
Salah seorang penerima yang dikenali sebagai Lawinyia A/P K Paramesivam, dia menzahirkan rasa teruja dan syukur kerana terpilih menjadi antara penerima biasiswa tersebut.
“Saya sangat teruja dan gembira, susah untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya rasa bersyukur dengan peluang yang diberikan,” katanya.
Jelas Lawinyia yang merupakan pelajar tahun 2, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), GrabScholar merupakan biasiswa pertama yang dimohon olehnya.

GrabScholar Diperkenalkan Oleh Bapanya Sendiri Sebagai Pemandu Grab
Lebih menarik, dia mengetahui mengenai pembukaan tawaran biasiswa itu menerusi bapanya yang merupakan seorang pemandu Grab sejak tahun 2018.
Kongsi Lawinyia yang berusia 22 tahun, bapanya mengetahui tentang GrabScholar dari aplikasi Grab dan telah memintanya untuk memohon biasiswa tersebut.
Malah, bapanya merupakan individu yang paling gembira apabila mendapat tahu dia berjaya terpilih menjadi antara penerima GrabScholar.
Sehingga kini, bapa Lawinyia masih menjadikan Grab sebagai sumber pendapatan utama keluarganya sebelum ibunya bekerja sebagai cef di sebuah kilang yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

GrabScholar Bantu Aruna Ringankan Beban Kewangan, Sebelum Ini Terpaksa Kerja Sambilan
Selain Lawinyia, seorang lagi penerima GrabScholar yang ahli keluarganya terdiri daripada rakan pemandu dan penghantar Grab adalah Aruna A/P Dhanapalan.
Kongsi Aruna yang merupakan pelajar tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, dia bersyukur kerana terpilih sebagai penerima GrabScholar bagi tahun 2025.
Jelas Aruna, biasiswa ini dilihat sememangnya dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya memandangkan dia empat beradik dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang menjadi tulang belakang sebagai caterer (penyedia makanan) kecil-kecilan.

Sama seperti adik beradik yang lain, Aruna terpaksa berkerja sambilan bagi menampung yuran pengajian dengan pendapatan bulanan sekitar RM200-RM250 sekaligus memerlukannya untuk mengawal perbelanjaan sebanyak RM5 sehari.
“Saya buat kerja separuh masa antaranya seperti membantu syarikat menyiapkan sebut harga (quotation), percetakan dan saree draping (servis memakai sari),” katanya yang menyimpan impian menjadi seorang wanita berjaya seperti yang diimpikan oleh ibunya.
Kongsi Aruna yang pernah bekerja sebagai kerani di Johor sebelum menyambung pengajian, dia juga mengetahui tentang GrabScholar dari abangnya yang merupakan rakan pemandu dan penghantar Grab.
Malah difahamkan, abangnya juga pernah membuat kerja sambilan selama tiga tahun sebagai penghantar makanan sewaktu di menara gading.

Bukan Sekadar Bantuan Kewangan, GrabScholar Bantu Membentuk Sahsiah Diri
Bagi Lawinyia dan Aruna, GrabScholar bukan sekadar meringankan beban kewangan sebaliknya, ia membantu membentuk keyakinan diri selain dapat meningkatkan kemahiran seperti kepimpinan.
Bukan itu sahaja, biasiswa ini juga dilihat sebagai penyuntik semangat agar sentiasa melakukan yang terbaik dalam pelajaran.
“Ia sangat membantu saya dari segi akademik kerana dengan adanya biasiswa ini, ia akan mendorong untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan yang cemerlang.
“GrabScholar juga membantu saya membina kemahiran kepimpinan. Saya sebenarnya seorang yang agak pendiam dan sering berasa takut untuk tampil ke hadapan atau bercakap di hadapan orang lain,” kata Lawinyia yang menyimpan hasrat untuk menjadi jurutera kimia yang berjaya.
Bagi Aruna pula, sebagai salah seorang penerima biasiswa ini, dia melihat GrabScholar sebagai harapan buat dirinya untuk memiliki masa depan yang lebih cerah.
“Peluang sebegini begitu bermakna kepada saya. Ia bukan sekadar membuktikan apa yang saya lalui tidak sia-sia, malah juga menyemarakkan semangat saya untuk menjadi seorang peguam yang dapat memperjuangkan nasib keluarga yang menyerupai keluarga saya.
“Biasiswa ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan, ia adalah harapan untuk masa depan yang lebih cerah,” jelasnya.
Pelajar Cemerlang & Memerlukan Turut Jadi Penerima GrabScholar 2025
Selain Lawinyia dan Aruna yang ahli keluarganya terdiri daripada komuniti Grab, pelajar lain yang cemerlang serta memerlukan bantuan kewangan turut dipilih menjadi penerima GrabScholar.
Antaranya adalah Mohamad Aizad bin Mat Ghani serta Johan bin Abdul Wahab yang merupakan anak yatim.

Sama seperti penerima lain, kedua-duanya menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila terpilih menjadi salah seorang penerima GrabScholar bagi tahun 2025.
Kongsi Aizad yang tinggal seorang diri selepas pemergian kedua-dua ibu bapanya pada tahun 2015 dan 2018, GrabScholar dilihat sebagai harapan yang dapat digunakan untuk pembangunan diri.
“Saya menyokong sepenuhnya usaha Grab membuat pelaburan dalam pembangunan mahasiswa menerusi GrabScholar,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia.

Seorang lagi penerima GrabScholar, Johan yang merupakan pelajar Ijazah Sains dan Teknologi Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia juga turut senada dengan Aizad.
“Saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan dan menyokong dasar pihak Grab yang membantu pelajar universiti,” katanya yang kehilangan ibu pada awal tahun ini akibat kanser payudara.

Selain Lawinyia, Aruna, Aizad dan Johan, dua lagi penerima biasiswa GrabScholar yang lain adalah Siti Nor Afiza Mohd Amizan dan Stephnie.
Kesimpulannya, Grab menerusi inisiatif GrabScholar dilihat banyak memberi manfaat sekaligus meringankan beban pelajar yang memerlukan sepanjang tempoh pengajian.
Dari dikenali membantu orang ramai bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain, malah menghantar makanan terus ke pintu rumah anda, Grab sekali lagi membawa sinar harapan menerusi GrabScholar dalam merealisasikan impian pelajar di menara gading.
Untuk info mengenai perkhidmatan Grab khususnya GrabScholar, anda boleh layaran laman web rasmi serta Facebook, Instagram dan TikTok GrabMy.



