[Review] Filem Bebefinn Sing-Along Movie: Into The Pinkfong World Tawar Keseronokan Buat Si Cilik!
Filem muzikal interaktif Bebefinn: Into The Pinkfong World bakal menemui anda di pawagam pada 11 September ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Dunia kanak-kanak sememangnya penuh dengan hiburan. Selain bermain, kehidupan warna-warni mereka turut dihiasi dengan cerita atau lagu-lagu dari animasi kartun yang comel.
Bila dimainkan lagu dari watak animasi kegemaran, si ciliklah yang paling teruja dengan menari dan menyanyi bersama.
Antara animasi yang kini menjadi kegemaran ramai adalah Bebefinn dari The Pinkfong Company yang juga pencipta lagu popular, Baby Shark.
Watak Animasi Bebefinn Kini Di Layar Perak, Tawar Hiburan & Keseronokan Buat Si Cilik
Berita baik buat ibu bapa! Watak kegemaran anak kesayangan anda, Bebefinn kini muncul pertama kali di layar perak menerusi filem muzikal interaktif Bebefinn Sing-Along Movie: Into The Pinkfong World.
Hari ini (9 September), kami berpeluang menghadiri tayangan khas filem ini di TGV 1 Utama, Damansara bagi merasai sendiri keseronokan filem berkenaan.
Menariknya, animasi yang dibawakan secara eksklusif oleh Abnormal Studios dan TGV Cinemas bakal memberi pengalaman berbeza dan unik buat ibu bapa yang mahu mencipta kelainan dalam hiburan buat si cilik.

Sinopsis Filem Muzikal Interaktif Bebefinn: Into The Pinkfong World
Filem muzikal interaktif yang bakal menemui penonton bermula 11 September 2025 ini mengisahkan tentang Bebefinn yang secara tiba-tiba hilang dalam dunia tablet ketika bermain dengan Baby Shark.

Kehilangan Bebefinn merisaukan kakak dan abangnya, Bora serta Brody yang segera mendapatkan bantuan Pinkfong yang turut tersesat ke dalam dunia manusia.
Dengan bateri tablet semakin lemah, Bora dan Brody bersama Pinkfong berganding bahu menyelamatkan Bebefinn dari dunia magis yang penuh imaginasi dan kejutan.

Siap Ada Sesi Meet & Greet Dengan Bebefinn & Pinkfong
Sebagai meraikan penampilan pertama Bebefinn di layar perak tempatan, Abnormal Studios dan TGV Cinemas akan membawa keseronokan buat kanak-kanak di luar layar dengan acara hiburan yang menarik.
Si cilik berpeluang menyertai aktiviti menyeronokkan bersama keluarga selain bergambar bersama Bebefinn dan Pinkfong di pawagam terpilih seperti berikut:
| Tarikh | Masa | Tempat |
| 13 September 2025 (Sabtu) | 10.30 pagi hingga 11.00 pagi | TGV Central i-city |
| 14 September 2025 (Ahad) | 10.30 pagi hingga 11.00 pagi | TGV 1 Utama |
| 15 September 2025 (Isnin) | 10.30 pagi hingga 11.00 pagi | TGV Pavilion Bukit Jalil |
| 16 September 2025 (Selasa) | 10.30 pagi hingga 11.00 pagi | TGV Sunway Velocity |
Menarikkan? Kalau bagitahu anak-anak ini, mesti diorang suka dan tak sabar nak ajak korang pergi menonton filem ini.
Bukan itu sahaja, si cilik juga boleh mencipta keseronokan di Bebefinn Fun Land anjuran Mitsui dan The Pinkfong Company bermula 18 September sehingga 28 September 2025 di Mitsui Outlet Park KLIA, Sepang.
Review Filem Muzikal Interaktif Bebefinn: Into The Pinkfong World
Untuk review, kami berpendapat filem ini betul-betul menepati sifatnya sebagai filem muzikal interaktif.
Manakan tidak, durasi masa satu jam dipenuhi dengan lagu-lagu catchy yang pastinya menghiburkan si cilik dan membuatkan mereka sing-along!
Difahamkan, lebih dari 10 lagu dimainkan dalam filem berkenaan termasuklah lagu popular, Baby Shark.

Malah, ada babak di mana karakter animasi tersebut turut mengajak penonton untuk menyanyi dan menari bersama mengikut rentak lagu.
Dari segi visual pula, kami berpendapat animasi filem ini penuh warna-warni dan ceria serta mampu menarik perhatian anak kecil selain membuatkan mereka rasa teruja untuk menerokai filem ini.

Walaupun berkonsepkan muzikal, filem Bebefinn Sing-Along: Into The Pinkfong World juga ada mesej dan pengajarannya tersendiri dalam mengajar anak kecil tentang hubungan adik-beradik selain mengajak si cilik untuk berfikir.
Namun, sebagai seorang ibu, penulis berpendapat muzik filem ini agak berat buat kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah. Ini kerana lagu yang dinyanyikan agak laju dan sukar untuk diikuti si cilik pada usia ini.
Pun begitu, plotnya yang santai pasti mudah difahami oleh kanak-kanak.
Jika ditanya rating keseluruhan, kami bagi 8/10. Buat korang yang mahu mencipta pengalaman pertama buat si cilik di pawagam, bolehla jadikan filem Bebefinn: Into The Pinkfong World sebagai filem pilihan korang.
