Anak Masih Muda Sudah Terjebak Dengan Cinta? Ini Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan
Kenali pasangannya selain bersikap terbuka dengan anak antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa jika anak remaja mula masuk ke alam percintaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila sebut tentang remaja, pelbagai perkara baharu khususnya mengenai alam dewasa banyak dipelajari dan dialami pada fasa ini.
Selain daripada berlaku perubahan fizikal, antara yang paling sinonim adalah terbitnya rasa cinta dengan individu berlainan jantina sehingga ada yang terjebak dengan cinta monyet.
Buat ibu bapa, pastinya keadaan ini amat merisaukan apatah lagi jika anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku.
Nak bersikap terlalu tegas pun tak boleh kerana bimbang anak boleh terasa dengan perbuatan kita hingga boleh menganggu hubungan atau menjauhkan diri.
Buat mereka yang risau boleh menggunakan cara di bawah apabila anak mula masuk ke alam percintaan.
#1 Terbuka Dengan Perkembangan Anak
Remaja yang mula memasuki dunia percintaan boleh diibaratkan seperti memulakan satu fasa kehidupan baharu.
Ia satu pengalaman menarik buat mereka namun buat segelintir ibu bapa ianya boleh jadi satu yang menakutkan.
Sebagai orang yang paling dekat, ibu bapa seharusnya perlu bersikap terbuka dengan perkembangan ini.
Menurut Perunding Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah, sikap terbuka ibu bapa mengenai soal percintaan boleh membuatkan anak berasa selesa untuk berkongsi kebimbangan dan masalah yang dihadapi.

#2 Tetapkan Peraturan & Had
Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tugas kita untuk melindungi dan memastikan keselamatan cahaya mata.
Namun, kalau terlalu bersikap tegas juga boleh mengganggu hubungan dalam sebuah keluarga.
Apa kata korang tetapkan sedikit peraturan dan mengajar mereka kemahiran yang diperlukan apabila anak mula bercinta.
Peraturan yang ditetapkan pula perlulah berdasarkan tingkah laku serta sahsiah mereka dan bukan berdasarkan usia.
Antara peraturan yang boleh ditetapkan adalah seperti:
- Berkenalan dengan individu yang bercinta dengan anak remaja korang
- Pantau dan nasihatkan mereka agar keluar secara berkumpulan bersama rakan yang lain
- Tetapkan had agar cahaya mata korang tahu bahawa ibu bapa perlu tahu hala tuju dan keberadaan mereka bersama orang lain.
- Hadkan umur pasangan anak kerana sebagai ibu bapa, sudah semestinya korang tak mahu anak bercinta dengan orang yang lebih tua bukan?

#3 Kenali Pasangan Anak
Tak kisah lelaki atau perempuan, cari peluang untuk mengenali pasangan anak korang walaupun korang sebenarnya telah mengenali mereka dan tahu dengan siapa anak bercinta.
Ambil tahu rancangan mereka untuk keluar seperti ke mana destinasi yang dituju, tetapkan had waktu dan sebagainya.
Senang jika berlaku perkara yang tidak diingini, korang dah ada maklumat yang diperlukan.
Tapi, pastikan mereka tidak rasa terkongkong dan faham bahawa tindakan sebegini adalah sebagai tanggungjawab dan keprihatinan korang sebagai ibu bapa.
#4 Sering Berbual Dengan Anak, Terapkan Ilmu Agama
Rajin berbual dengan anak merupakan antara cara yang boleh dilakukan bila remaja mula mengenal cinta.
Melalui cara ini, anak akan lebih berasa selesa dan sentiasa mengutamakan ibu bapa mereka dalam setiap keputusan.
Malah, cara sebegini juga boleh menjadi medium untuk korang mengajar dan berkongsi topik berkaitan kehidupan dan percintaan seperti harga diri serta batasan pergaulan.
Tak perlulah mereka bersusah payah mencari sendiri melalui internet kerana ada ibu bapa yang boleh berkongsi ilmu tentang percintaan.
Sebaiknya, dari sudut agama pula, terapkan ilmu dan nilai keagamaan sejak dari kecil agar mereka tahu apa yang dibenarkan dan dilarang dalam Islam seperti menjauhi sentuhan fizikal dan menjaga aurat.
Tidak salah memiliki perasaan cinta namun apa yang penting jagalah batas dan hindari daripada maksiat.
Malah, Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isra’: 32).
Pendakwah wanita terkenal, Ustazah Asma’ Harun juga pernah mengingatkan ibu bapa yang anaknya bercinta untuk mengelakkan mereka keluar berdua-duaan hatta yang sudah bertunang bagi mengelakkan berlakunya maksiat.
Larangan Berdua-duaan Antara Lelaki Dan Perempuan Yang Bukan Mahram
Daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. (HR Muslim, hadis sahih).
Malah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau juga dikenali sebagai Dr Maza ada dalam satu video ceramahnya ada menjelaskan bercinta atau perasaan mahu mempunyai kekasih adalah normal.
“Bercinta, suka, ada kekasih, normal. Yang salahnya adalah apabila kita mula buat perbuatan yang dilarang oleh agama.
“Kalau kita mengingati kekasih kita, normal tak? Normal,” katanya.
Namun beliau menjelaskan, jika seseorang remaja itu bercinta yang tidak membawa kepada perkahwinan, maka seharusnya perkara itu dielakkan.
“Kalau kita tahu kita bercinta hingga tak boleh buat kerja, sedangkan tanggungjawab kita datang sini (universiti) untuk belajar, kita kena elakkan daripada cinta yang tidak boleh membawa perkahwinan yang hanya akan menyusahkan diri kita sahaja,” jelasnya lagi.
Malah, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan pandangan sama bahawa boleh bercinta sekiranya tujuan seseorang itu akhirnya untuk berkahwin.
Namun, sekiranya pengenalan itu bukanlah serius, hukumnya boleh jatuh haram.
#5 Pantau Penggunaan Media Sosial
Zaman sekarang ini memang banyak platform media sosial yang digunakan sebagai medium perhubungan, bukan hanya telefon semata-mata.
Walaupun anak dah mula menginjak ke usia remaja dan ada sedikit kebebasan, ibu bapa disarankan untuk sentiasa memantau pengguna media sosial lebih-lebih lagi bila mereka sudah masuk ke alam percintaan.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga mereka justeru tidak salah jika mengambil langkah berhati-hati kerana berkemungkinan ia boleh digunakan dengan cara tidak betul.
Ingatkan anak tentang kesan penyalahgunaan aplikasi perbualan seperti melakukan sexting (menghantar atau menerima mesej berunsur seksual) atau terlibat dengan aplikasi percintaan lain.
Jangan lupa pesan pada anak kesan tindakan mereka menghantar gambar mereka sendiri yang boleh disalah gunakan oleh penerima walaupun telah dipadam.
Internet is forever!

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa janganlah kita terlalu tegas dengan anak bila masuk bab bercinta ini.
Ini kerana sikap terlalu mengongkong boleh mengeruhkan lagi hubungan dengan anak. .
Apa yang penting amalkan sikap terbuka dan beri ruang kepada anak untuk berkongsi apa yang mereka rasa namun pastikan segala perbuatan mereka tidak melanggar syariat Islam.
Baca Artikel Berkaitan: Hubungan Cinta Monyet Pelakon Cilik, Mitilda dan Hezriq Terputus Di Tengah Jalan
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Bapa Perlu Terbuka Didik Anak Tentang Seks Demi Elak Masalah Ketagihan Pornografi – Pakar
Baca Artikel Berkaitan: “Terlalu Ikutkan Kehendak Mereka”- Ini Antara Kesilapan Ibu Bapa Lakukan Ketika Mendidik Anak



