Dah Tidur 8 Jam Tapi Masih ‘Barai’? Mungkin Ini Penyebabnya
Mungkin korang pun tertanya-tanya apa sebabnya bukan? Jadi mari kami kongsikan beberapa kemungkinan penyebab korang berasa letih walaupun sudah cukup tidur.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pernah tak korang rasa tak bertenaga, mengantuk atau lesu di siang hari? Padahal dah dapat tidur yang mencukupi.
Kalau pernah maknanya korang tak berseorangan, masih ramai lagi yang turut menghadapi masalah sama.
Mungkin korang pun tertanya-tanya apa sebabnya bukan? Jadi mari kami kongsikan beberapa kemungkinan yang menyebabkan korang berasa letih walaupun sudah cukup tidur.
#1 Tidur tidak berkualiti
Memang benar, tidur yang mencukupi bagi golongan dewasa adalah sekitar tujuh hingga sembilan jam.
Bagaimanapun, masih ramai yang terlepas pandang atau tidak mengambil berat soal kualiti tidur yang sebenarnya lebih penting daripada kuantiti.
Seseorang yang mudah terbangun ketika tidur malam boleh menjadi punca keletihan di siang hari kerana badan tidak sempat memasuki fasa tidur nyenyak.
Tidak yang nyenyak ini penting tau! Untuk proses pemulihan otak dan tubuh badan korang.
Selain itu, tanpa tidur nyenyak, badan tidak dapat menghasilkan hormon-hormon penting bagi membantu proses baik pulih tisu, menguatkan imuniti dan ketenangan fikiran, seperti dipetik Relevan.
#2 Stres kronik dan tekanan emosi
Masalah yang dihadapi diri seperti stres yang berpanjang juga antara punca badan berasa lesu ketika waktu siang.
Ini kerana, minda yang terlalu aktif memikirkan kerja, masalah keluarga atau hal kewangan akan menjadikan tubuh sentiasa dalam mod ‘bersedia’ walaupun mata sudah pejam.

Otak yang terlalu aktif berfikir juga boleh menyebabkan korang terjaga di tengah malam.
Lebih parah lagi apabila tekanan yang tidak diurus akan meningkatkan hormon kortisol (hormon stres) dalam darah yang boleh mengganggu kitaran tidur semula jadi.
#3 Gaya hidup tidak seimbang
Sebenarnya ramai juga yang masih tidak sedar bahawa rutin harian juga mempengaruhi tenaga kita.
Antara tabiat yang menyumbang kepada keletihan termasuklah mengambil minuman berkafein selepas waktu petang, nak jadi ‘coffee lover’ tu tak kisah, tapi berpada-pada lah.

Selain itu, bermain telefon atau menonton televisyen terlalu lama sebelum tidur, makan makanan berat atau tinggi gula pada lewat malam serta kurang bersenam sepanjang hari juga boleh menyebabkan seseorang berasa letih di siang hari.
Apabila tubuh tidak digerakkan atau terlalu banyak duduk, metabolisme akan menjadi perlahan sekali gus menyebabkan penghasilan tenaga menurun.
#4 Masalah kesihatan yang tidak diketahui
Kadang-kadang, letih yang berpanjangan walaupun dah cukup tidur adalah tanda kepada masalah kesihatan yang lebih mendalam. Contohnya:
- Anemia – zat besi yang tidak mencukupi menyebabkan darah kurang membawa oksigen ke seluruh tubuh, menjadikan korang cepat penat.
- Hipotiroidisme – Kelenjar tiroid yang ‘malas’ boleh menyebabkan sistem badan menjadi perlahan dan menyebabkan keletihan kronik.
- Apnea tidur – Keadaan di mana pernafasan terhenti seketika ketika tidur, menyebabkan anda kerap terjaga tanpa sedar.
- Kemurungan dan kebimbangan – Gangguan mood bukan saja menjejaskan emosi tetapi juga keupayaan tubuh untuk pulih dan merasa segar.
Mungkin korang perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut sekiranya masih berasa letih meskipun sudah mengubah gaya hidup, tidur awal, jaga pemakanan dan bersenam.
#5 Emosi dan mental tidak cukup rehat
Selain fizikal, emosi dan mental juga memerlukan rehat. Tak salah jadi ‘workaholic’ tapi perlulah beri ruang untuk diri sendiri berehat daripada kerja juga.
Keletihan sosial, beban tanggungjawab atau rasa terbeban dengan perkara yang dipendam dalam hati juga menyumbang kepada tidur yang tidak berkualiti.

Kita bukan hanya perlukan tidur semata-mata, tetapi rehat emosi. Rehat emosi ini tak susah pun untuk dilakukan, cukup sekadar duduk diam tanpa gangguan, luahkan perasanan pada orang yang dipercayai atau ambil masa untuk melakukan perkara yang mendatangkan ketenangan.
#6 Tak bayar ‘hutang’ tidur
Alamak tidur pun ada hutang? Sebenarnya tidak tidur adalah seperti korang membuat pinjaman daripada bank, korang kena bayar sehingga selesai.
Pasti ada di antara kita yang tidur lewat atau tidak cukup tidur ketika hujung minggu bukan? Yela hari cuti macam-macam aktiviti yang nak dilakukan.
Memetik Sleepopolis, tidur yang tidak cukup itu sebenarnya perlu diganti semula tau mengikut kadar jam yang diperlukan.
Contohnya, hari Sabtu dan Ahad korang kekurangan tidur selama dua jam, maka hari Isnin itu korang mesti mendapatkan tidur extra dua jam untuk ganti semula.



