fbpx

Wanita Kongsi Pengalaman Masuk Penjara Orang Gemuk Di China, Demi Kuruskan Badan [Video]

Menurut Eggeats dia telah membayar sebanyak AS$1,000 (RM4,054) dan tak dibenarkan keluar dari kem tanpa alasan yang kukuh selain turut dikawal dan dijaga oleh pengawal keselamatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap kali tibanya tahun baru pasti ramai di antara kita yang berazam ingin menurunkan berat badan. Ada yang mengecapi azam itu dan ada lagi yang masih belum berjaya.

Tak dinafikan menurunkan berat badan bukanlah suatu perkara yang mudah, bahkan ia memerlukan disiplin dan semangat yang tinggi bagi menjayakan misi tersebut.

Namun ia juga bukanlah sukar jika seseorang itu tekad untuk melakukan gaya hidup yang sihat demi kesihatan dan kesejahteraan diri.

Wanita Australia masuk penjara orang gemuk di China untuk menurunkan berat badan

Seorang wanita dari Australia turut mempunyai impian yang sama iaitu ingin menurunkan berat badan sehingga dia akhirnya mendaftar diri masuk ke ‘penjara orang gemuk’ di China.

Penjara itu merupakan sebuah kem yang diwujudkan untuk membantu individu yang mempunyai misi untuk menurunkan berat badan dengan latihan serta pemakanan yang telah ditetapkan.

Wanita warga Australia itu, @eggeats telah berkongsi beberapa klip video di Instagram menunjukkan pengalamannya sepanjang memasuki penjara terbabit.

Memetik laporan Firstpost, penjara beroperasi dalam satu pusat kemudahan atau kampus yang telah diubah suai di China. Dipercayai ia mempunyai kerjasama di antara sebuah syarikat komersial atau kerajaan.

Ramai yang telah memilih untuk menyertai kem itu selepas gagal menurunkan berat badan menerusi diet serta jurulatih. Idea penjara ini diadakan adalah untuk menggalakkan penurunan berat badan yang ketara di kalangan orang besar termasuklah kanak-kanak.

Setiap makanan dan pergerakan peserta diperhatikan

Memetik Ynetnews, kehidupan di kem tersebut seperti kem askar. Ini kerana setiap gram makanan yang diambil sentiasa dipantau, malah para peserta sentiasa diperhatikan dan dipaksa untuk menurunkan berat sama ada mahu atau tidak.

Eggeats dipercayai telah mendaftarkan diri untuk menyertai kem tersebut bermula awal Disember yang lalu dan membayar sekitar AS$1,000 (RM4,054) dan ia menjamin untuk mendapatkan hasil yang optimum selama 28 hari.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan wanita terbabit berkongsi setiap rutin yang dilakukannya sewaktu menyertai penjara tersebut.

Peserta tak dibenarkan keluar dari kem tanpa sebab yang kukuh

Bahkan ia dipanggil sebagai penjara kerana peserta tidak dibenarkan meninggalkan kem itu tanpa sebab yang sah selain kehidupan sentiasa dikawal.

Menurutnya peserta dilatih selama empat jam sehari dan perlu menghadiri sebanyak 19 kelas senaman untuk seminggu.

Pada waktu siang, ia dimulakan dengan sesi aerobik dan kemudian diikuti dengan kelas intensiti tinggi (HIIT) dan satu lagi sesi aerobik pada waktu petang.

Setiap hari rutin mereka akan diakhiri dengan kelas berbasikal atau dipanggil spinning class yang turut mempunyai muzik yang kuat serta lampu berkelip-kelip.

Mereka turut dihidangkan dengan makanan di atas keluli tahan karat dan makanan itu turut diukur. Untuk sarapan, mereka dihidangkan dengan sepotong roti, sedikit tomato, timun serta empat biji telur rebus.

Manakala makan tengah hari pula mereka akan dihidangkan dengan itik panggang, akar teratai, sayur-sayuran goreng serta pisang sebagai pencuci mulut.

Perlu kongsi bilik, jumlah bayaran RM4,054 termasuk kemudahan

Cabaran ketika berada di kem itu bukan sahaja dari segi fizikal tetapi mereka juga menjalani kehidupan seperti berada di asrama tentera dan perlu berkongsi bilik bersama lima individu lain.

Bahkan Eggeats turut berkongsi keadaan di dalam penjara yang mempunyai dinding konkrit, pagar besi dan elektrik yang diletakkan di seluruh kem selain turut dipantau oleh pengawal keselamatan di pintu hadapan.

Perkara itu adalah untuk mengelakkan peserta daripada meloloskan diri keluar dari kem tersebut.

Sebaik sahaja sampai di penjara itu, peserta dilarang membawa sebarang makanan khususnya makanan ringan serta mi segera.

Para peserta akan diberikan waktu tersendiri bermula jam 7.40 petang serta hari Ahad sebagai waktu rehat, selain diwajibkan menghadiri kelas berbasikal pada waktu petang.

Segala bayaran adalah termasuk dengan kemudahan bilik, meja, almari peribadi, kemudahan bilik mandi, tandas dan banyak lagi.

Sifatkan pekerja dalam penjara baik

Namun Eggeats menyifatkan para pekerja adalah baik dan selalu bersemangat untuk mempraktikkan Bahasa Inggeris dan bahasa asing peserta lain yang ada di dalam penjara itu.

Eggeats turut berkongsi pada minggu pertama dia telah berjaya menurukan berat sebanyak 4 kilogram selepas dua minggu berada dalam penjara itu.

Meskipun berdepan rasa sakit daripada latihan senaman dilakukan namun dia turut mengalakkan orang ramai untuk menyertai kem itu sekiranya sukakan cabaran yang ekstrem.

“Saya jumpa dengan ramai kawan. Mereka semua tidak menghakimi kerana berkongsi matlamat yang sama untuk membuang lemak,” jelasnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.