fbpx
Now Reading
Warga Emas Usia 102 Di Jepun Jadi Individu Tertua Di Dunia Daki Gunung Fuji

Warga Emas Usia 102 Di Jepun Jadi Individu Tertua Di Dunia Daki Gunung Fuji

Kata warga emas yang dikenali sebagai Kokichi Akuzawa, awalnya dia hampir berputus asa namun atas sokong orang ramai, akhirnya dia berjaya berada di puncak Gunung Fuji.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tak dinafikan setiap individu pastinya mempunyai hobi atau minat yang suka dilakukan apabila ada waktu lapang.

Atau ada juga segelintir individu yang suka mencabar diri dengan melakukan aktiviti lasak untuk melihat ketahanan diri.

Tidak kira muda atau tua, cabaran itu dilakukan atas dasar minat atau hanya sekadar ingin menguji keyakinan dan ketahanan diri sendiri.

Warga emas berusia 102 tahun dinobatkan sebagai individu tertua daki Gunung Fuji

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang warga emas di Jepun yang dikenali sebagai Kokichi Akuzawa berusia 102 tahun yang menjadi individu tertua mendaki Gunung Fuji.

Meskipun hampir berputus asa namun Akuzawa berjaya membuktikan kebolehan dirinya apabila kejayaannya mendaki gunung itu diiktiraf dalam Guinness World Records.

Turut difahamkan Akuzawa mendaki Gunung Fuji itu pada awal Ogos yang lalu.

“Ketika di separuh jalan saya hampir benar-benar ingin mengalah.

“Mendaki sehingga ke puncak begitu sukar, namun rakan-rakan sentiasa menyokong saya dan ia akhirnya menjadi baik. Saya berjaya mengharunginya kerana ramai orang memberikan sokongan,” ujarnya, lapor CNN.

Foto: Guinness World Records

Daki gunung bersama anak, cucu dan rakan-rakan dari kelab pendaki

Warga emas berkenaan mendaki gunung tersebut bersama ahli keluarganya iaitu anak perempuan yang dikenali sebagai Motoe, berusia 70 tahun, cucu perempuan bersama suaminya serta empat lagi rakan dari kelab pendaki gunung tempatan.

Mereka berkhemah selama dua malam di denai gunung sebelum mula mendaki pada 5 Ogos lalu ke puncak gunung yang tertinggi di Jepun tersebut iaitu 3,776 meter atau 12,388 kaki.

Sesi temubual itu turut dibantu oleh anak perempuan Akuzawa iaitu Yukiko yang berusia 75 tahun untuk mengulangi soalan ke telinga bapanya memandangkan warga emas itu sukar untuk mendengar.

Kagum dengan diri sendiri kerana boleh mendaki dengan baik di usia emas

Kata Akuzawa, dia sangat kagum dengan dirinya kerana boleh mendaki dengan baik. Malah dia juga memaklumkan tidak mengambil mudah untuk mendaki mana-mana gunung pada usia emasnya.

“Lebih baik mendaki sementara anda masih boleh.”

Pecah rekod sendiri sebagai pendaki tertua

Pendakian ke Gunung Fuji bukanlah pendakiannya yang pertama kali sebaliknya ketika berusia 96 tahun, Akuzawa menjadi orang tertua mendaki gunung paling terkenal di negara berkenaan.

Namun dalam tempoh enam tahun selepas itu, dia mengatasi masalah jantung, kayap serta jahitan disebabkan terjatuh daripada aktiviti mendaki.

Ambil masa selama 3 bulan untuk berlatih sebelum panjat Gunung Fuji

Jelasnya, Akuzawa mengambil masa selama tiga bulan untuk berlatih sebelum mendaki Gunung Fuji. Antara latihan dilakukan adalah dia akan bangun pada jam 5 pagi dan berjalan selama sejam serta mendaki kira-kira satu gunung setiap minggu.

Kebanyakan gunung yang didakinya adalah sekitar wilayah Nagano di barat Gunma di tengah Jepun.

Akuzawa turut mengimbau kenangan yang membuatkannya mula mendaki pada 88 tahun yang lalu. Keajaiban yang dirasai apabila berada di puncak adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan orang ramai yang membuatkannya sentiasa ingin kembali melakukan aktiviti itu.

“Saya mendaki kerana menyukainya. Ia mudah untuk berkenalan dengan kawan apabila berada di atas gunung,” ujarnya.

Akuzawa merupakan seorang pelajar yang berkebolehan dan bekerja sebagai jurutera reka bentuk enjin. Dia kemudian menjadi inseminator tiruan unt haiwan sehingga berusia 85 tahun.

“Sama ada anda suka belajar atau tidak, anda akan boleh menikmati gunung dengan cara yang sama.

“Kepandaian tidak penting di sana. Kita semua berada di kedudukan sama dan berjalan ke hadapan bersama-sama.

Foto: Guinness World Records

Suka daki solo, namun sudah tidak kuat dan perlu bantuan

Akuzawa juga gemar mendaki secara solo, namun selepas beberapa tahun kekuatannya semakin berkurangan dan memerlukan pertolongan orang lain. Rekod pendakiannya pada bulan lalu merupakan satu ujian yang perlu dilakukan dengan bantuan.

“Gunung Fuji bukan gunung yang sukar, namun kali ini ia lebih sukar dari enam tahun lalu. Lebih sukar dari semua gunung lain yang pernah didaki.

“Saya tak pernah berasa selemah ini. Saya tidak merasai kesakitan, namun asyik berfikir mengapa saya terlalu perlahan, kenapa saya tidak ada stamina. Saya sudah lama melepasi had fizikal saya dan dengan berkat kekuatan orang lain saya berjaya (daki Gunung Fuji),” katanya lagi.

Suka mendaki gunung namun tahu tidak lagi boleh melakukannya

Jelas warga emas itu lagi, dia gemar untuk mendaki gunung dan ingin melakukannya sampai bila-bila namun mengetahui keadaannya tidak lagi mengizinkan.

“Sekarang saya berada di paras Gunung Akagi,” katanya. Gunung Akagi adalah gunung yang mempunyai separuh ketinggian Gunung Fuji iaitu 1,828 meter (5,997 kaki).

Akuzawa kini banyak menghabiskan masanya di pusat sukarelawan warga emas dengan mengajar melukis di rumah studionya.

Menurutnya mendaki gunung dan mendaki memerlukan masa dan dedikasi namun keduanya memberikan ketenangan.

“Mereka yang mendaki gunung, dan mereka yang melukis jika mereka boleh mencipta sesuatu di laluan itu, itulah perkara yang paling memuaskan.”

Anak perempuannya ingin Akuzawa melukiskan Gunung Fuji ketika matahari mula terbit sebagai gambaran banjaran gunung yang menutupi dinding di ruang tamunya.

“Saya mendapat banyak permintaan. Saya ingin melukis beberapa pemandangan dari puncak Gunung Fuji, tempat yang menyimpan kenangan istimewa untuk saya, kerana ini mungkin kali terakhir saya sampai ke puncak,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.