“Mind The Gap”- Kisah Wanita Sering Ke Stesen Kereta Api Untuk Dengar Suara Mendiang Suami Undang Sebak
Pada tahun 2012, secara tiba-tiba suara Oswald iaitu mendiang suami kepada Margaret tidak lagi didengari di stesen Embankment dan perkar itu membuatkan wanita berkenaan panik serta cemas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemergian atau kehilangan insan yang disayangi seperti ibu bapa, ahli keluarga atau pasangan sukar digambarkan perasaannya.
Malah seseorang yang kehilangan insan tersayang ini adakalanya terpaksa menahan rindu apabila tidak lagi dapat bertemu dengan individu yang telah meninggal dunia.
Adakalanya hanya gambar, video atau rakaman suara sahaja yang dapat mengubat rindu mereka selain doa yang diiringkan bersama.
Wanita sering kunjungi stesen kereta api untuk ubat rindu pada suami yang sudah meninggal dunia
Perkara ini, samalah seperti apa yang dilakukan oleh seorang wanita di London ini apabila sering berkunjung ke sebuah stesen kereta api bawah tanah (London Underground) untuk mengubat rindu pada suami yang sudah meninggal dunia.
Wanita yang dikenali sebagai Dr Margaret McCollum merupakan seorang pegawai perubatan yang berasal dari London dan berkunjung ke stesen Embankment pada setiap hari selepas kematian suaminya, Oswald Laurence.
Kisah pasangan ini bermula selepas mereka berjumpa pada tahun 1992 sewaktu Oswald bekerja di sebuah syarikat cruise di Maghribi. Mereka kemudian hidup bersama sehinggalah Oswald meninggal dunia pada 2007.
Oswald terpilih merakam pengumuman perkhidmatan ‘Mind The Gap’ untuk digunakan di stesen kereta api
Secara ringkasnya Oswald adalah seorang pelakon. Pada tahun 1960 dia telah dipilih untuk merakamkan suaranya sebagai pengumuman di seluruh stesen kereta api bawah tanah di London.
Meskipun ayat ‘Mind The Gap’ yang disebutnya adalah ringkas namun ia menjadi simbolik bagi pengguna TfL memandangkan ia digunakan untuk satu tempoh yang lama melibatkan jutaan pengunjung.
Namun selepas digunakan selama beberapa puluh tahun suara Oswald kemudiannya ditukar dengan suara baharu kecuali stesen Embankment.
Perkara ini membuatkan stesen tersebut begitu istimewa di hati Margaret kerana dia masih dapat mendengar suara suaminya. Ini membuatkan dia sering mengunjungi stesen tersebut dan berehat di sana bagi melepaskan rindu.
Embankment stesen terakhir yang masih gunakan suara Oswald sehingga ia tidak didengari lagi oleh Margaret
Namun pada suatu hari pada sekitar November 2012, suara Oswald tidak lagi kedengaran kerana telah diganti sewaktu melakukan penambaikan sistem.
“Saya selalu menunggu untuk kereta api yang seterusnya supaya saya boleh mendengar suara dia (Oswald) lagi.
“Tiba-tiba suatu hari ia bukan lagi suaranya. Saya beritahu kepada kawan saya, ‘apa yang berlaku pada suara Oswald?’ Mungkin rakamannya sudah rosak.
“Saya berasa panik dan sedikit cemas,” kata Margaret.
Margaret tanya mengenai suara hilang, pihak pengurus beri salinan suara Oswald selepas dengar cerita sebenar
Memetik laporan The Economic Times, wanita itu kemudian mengutus surat kepada pihak TfL Rail bagi mengetahui apa yang berlaku pada suara suaminya.
Walaubagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan mereka tidak dapat meletakkan rakaman suara Oswald dalam sistem baharu.
Namun sebaik mengetahui mengapa suara itu begitu istimewa kepada Margaret, syarikat kereta api itu kemudiannya telah memberikan satu rakaman CD kepadanya.
“Kami begitu tersentuh mendengar ceritanya. Jadi staf telah memuat turun rakaman dan bukan hanya itu mereka juga membuat salinan pengumuman itu di dalam CD untuk disimpan olehnya dan juga cuba melakukan kerja untuk menggunakan semula pengumuman tersebut di stesen Embankment,” kata Pengurus London Underground, Nigel Holness, yang dipetik BBC.
Stesen Embankment guna semula suara Oswald selepas diminta oleh isterinya
Bukan hanya itu, wanita tersebut juga membuat permintaan agar pihak berkenaan kembali menggunakan suara suaminya dan permintaan berkenaan kemudian diterima oleh syarikat tersebut.
Malah syarikat terbabit mengambil keputusan untuk menggunakan semula rakaman audio yang sudah berusia 40 tahun itu.
Kisah romantis mengenai pasangan itu, kemudiannya turut dijadikan sebagai iklan oleh sebuah syarikat teknologi Kingston.
Kisah ini turut tular di Malaysia sehingga ia dikongsikan di TikTok dan turut membuatkan ramai sebak mendengar kisah cinta sejati Margaret terhadap suaminya.
Berikut adalah komen netizen:
“Sedihnya, rindu tiada penghujung. Dah dua kali datang London dan guna train ni. Tapi tak ambil pusing pun pemilik suara ‘Mind The Gap'”

“Aku taip sambil berjutaian air mata, dan inilah yang aku rasa setelah 2 tahun pemergian ayahku..”

“Ya Allah sedihnya, terus aku pergi cari pemilik empunya suara ‘mind the gap'”




